Home Politik Rakyat Sabah jangan diperbodohkan untuk kali kedua

Rakyat Sabah jangan diperbodohkan untuk kali kedua

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad diingatkan supaya tidak berterusan menganggap rakyat Sabah dan Sarawak bodoh semata-mata hendak memancing undi dengan mencadangkan Datuk Seri Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri ke-9.

Malah sangat memalukan untuk Dr Mahathir terus beranggapan dirinya boleh mendapatkan sokongan daripada Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak hanya dengan mencadangkan nama Shafie.

Itu pandangan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri James Jemut Masing kepada akhbar The Star  berhubung kenyataan terbuka Dr Mahathir semalam yang mahu menjadikan Shafie dari Sabah sebagai calon Perdana Menteri akan datang.

Menurut James, rakyat Sabah sebenarnya tidak akan sesekali lupa sebelum ini Dr Mahathir pernah mungkir janji tentang jawatan Ketua Menteri mengikut urutan yang telah diperkenalkan olehnya sendiri sekitar 1994.

Bagaimanapun katanya, selepas kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14, Dr Mahathir seolah-olah terlupa, mungkir janji dengan mencadangkan nama Shafie pula tanpa ikut urutan.

“Saya tahu Shafie adalah pemimpin yang baik dan berkebolehan, tetapi janganlah anggap rakyat Sabah dan Sarawak sebagai bodoh dengan mencadangkan Shafie sebagai calon PM selepas PRU-15 demi sokongan dari semua.

“Tidak mungkin pengundi Malaysia menerimanya! Saya meminta Tun Mahathir untuk berhenti bermain politik dan jadi lebih ‘nyata’.

“Tidak mungkin kami lupa bagaimana kamu yang perkenalkan sistem urutan jawatan Ketua Menteri di Sabah pada 1994 tetapi selepas menang, kamu tidak ikut seperti yang kamu perkenalkan sebaliknya calonkan Shafie sebenarnya apabila menang kerajaan Persekutuan,” katanya.

Dalam pada itu, James menasihatkan warga Sabah supaya tidak sesekali tertipu dengan agenda Dr Mahathir yang ternyata padanya langsung tidak boleh dipercayai.

“Jangan biarkan anda semua tertipu olehnya. Sebelum ini dalam isu Ketua Menteri sudah diperdayakan. Kini katanya calon Perdana Menteri oleh Mahathir selepas PRU-15 pula. Cukuplah,” tegasnya.

Di bawah ‘rotation’ Ketua Menteri yang diperkenalkan oleh Tun Mahathir pada tahun 1994, sistem ini menggilir jawatan tersebut di kalangan masyarakat Muslim, bumiputra dan bukan Islam setiap dua tahun.

Namun apa yang terjadi adalah sebaliknya, selepas kemenangan PH pada pilihan raya lepas, Tan Sri Musa Aman yag merupakan bumiputra Muslim telah digantikan oleh Shafie yang juga bumiputra Muslim. –MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.