Home Ekonomi Eksport Mei menurun 25.5% kepada RM62.7 bilion

Eksport Mei menurun 25.5% kepada RM62.7 bilion

KUALA LUMPUR – Eksport Malaysia terus mencatatkan penurunan 25.5 peratus kepada RM62.7 bilion tahun ke tahun pada bulan Mei lalu.

Prestasi eksport masih terkesan dengan pandemik Covid-19 apabila prestasi eksport terus menunjukkan aliran menurun yang lebih tinggi dari April 2020.

Eksport semula bernilai RM8.8 bilion mencatat penurunan 30.0 peratus tahun ke tahun dan merangkumi 14.0 peratus daripada jumlah eksport, kata Ketua Perangkawan, itu, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin.

Manakala eksport domestik juga mencatatkan penurunan 24.7 peratus atau RM17.7 bilion kepada RM53.9 bilion.

Import juga mencatatkan penurunan 30.4 peratus kepada RM52.3 bilion tahun ke tahun yang merupakan penurunan terbesar sejak Januari 2009 semasa krisis kewangan global pada tahun 2009.

Pada bulan Mei 2020, eksport Malaysia mencatatkan penurunan pada kadar yang lebih perlahan daripada import, menghasilkan lebihan dagangan iaitu RM10.4 bilion, lebih tinggi 14.7 peratus berbanding Mei 2019.

Sementara itu, jumlah perdagangan Malaysia berjumlah RM115.0 bilion, menurun 27.8% tahun ke tahun.

Menurut beliau, kejatuhan eksport disebabkan oleh penurunan eksport ke India (-RM3.2 bilion), Singapura (-RM2.5 bilion), Thailand (-RM2.1 bilion), Jepun (-RM2.0 bilion), dan Kesatuan Eropah (-RM1.9 bilion).

Import yang lebih rendah adalah dari China (-RM3.3 bilion), Singapura (-RM3.1 bilion), Kesatuan
Eropah (-RM2.3 bilion), Thailand (-RM2.1 bilion) dan Indonesia (-RM1.4 bilion).

Katanya, produk utama yang menyumbang kepada penurunan eksport adalah barangan elektrik dan elektronik (-RM5.8 bilion), produk keluaran petroleum (-RM2.9 bilion), petroleum mentah (-RM1.7 bilion), barangan perkilangan logam (-RM1.4 bilion), kimia dan bahan kimia (-RM1.2 bilion) dan jentera, kelengkapan dan peralatan (- RM1.1 bilion).

Sementara itu, penurunan import dicatatkan bagi produk keluaran petroleum (-RM5.1 bilion), kimia dan bahan kimia (-RM2.6 bilion), kelengkapan pengangkutan (-RM2.4 bilion), jentera, kelengkapan dan peralatan (-RM1.9 bilion ) dan petroleum mentah (-RM1.8 bilion).

Penurunan dalam import mengikut Penggunaan Akhir disumbangkan oleh barangan perantaraan, barangan modal dan barangan penggunaan manakala import barangan perantaraan, menurun 27.8 peratus atau RM11.9 bilion kepada RM30.8 bilion.

Barangan modal bernilai RM6.7 bilion, berkurang 27.8 peratus atau RM2.6 bilion dan barangan penggunaan menyusut 21.9 peratus (-RM1.5 bilion) kepada RM5.2 bilion. – MalaysiaGazette