KUALA LUMPUR – Seorang bekas penolong akauntan Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) mengaku tidak bersalah atas 20 pertuduhan membuat tuntutan palsu melibatkan nilai RM44,900 di Mahkamah Seksyen hari ini.
Tertuduh, Munawer Hasan, 35, mengaku tidak bersalah ketika kesemua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Seksyen, Azura Alwi dan hendak di bicarakan tanpa diwakili peguam.
Tuntutan-tuntutan palsu itu berkaitan dengan pembayaran ‘piecemeal’ atau bayaran kepada pengacara, suara latar dan pakar rujuk yang sebenarnya untuk program-program yang tidak wujud dan tidak pernah dilaksanakan.
Ketika setiap satu pertuduhan itu dibacakan, Munawer dalam keadaan tenang hanya minta dibicarakan kembali sambil memberitahu tidak bersalah.
Dia dikatakan telah ‘memperdayakan’ RTM dengan menggunakan baucer mengandungi butiran palsu berhubung perihal kerja yang tidak pernah dijalankan.
Semua wang tuntutan itu juga telah dimasukkan ke dalam akaun beberapa individu dikenali olehnya antara 2014 sehingga 2016.
Azura kemudian memutuskan perintah ikat jamin sebanyak RM13,000 terhadap tertuduh.
Sebutan kes itu ditetapkan pada 14 Julai ini.
Beliau juga memberi peluang kepada tertuduh jika hendak menggunakan perkhidmatan peguam ketika perbicaraan kesnya kelak.
Bagaimanapun, Azura enggan mengurangkan jumlah ikat jamin selepas dipinta oleh tertuduh yang mendakwa dirinya mempunyai tiga orang anak kecil dan isterinya sedang sarat mengandung.
“Anda mempunyai 20 pertuduhan ke atas kamu, saya rasa nilai ikat jamin itu setimpal. Saya juga beri peluang untuk kamu cari peguam jika boleh, melainkan kamu faham prosedur ketika perbicaraan itu nanti,” katanya ringkas.
Timbalan Pendakwa Raya mewakili Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nor Diana Nor Azwa manakala tertuduh setakat ini tidak mempunyai peguam bagi mewakili dirinya. –MalaysiaGazette