KUALA LUMPUR – Orang ramai hanya perlu melakukan ujian suhu badan di pintu masuk utama pusat beli-belah sahaja berbanding melakukannya setiap kali memasuki kedai-kedai di dalam pusat membeli-belah pada ketika ini.
Bagaimanapun menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, para pengunjung masih diwajibkan mencatatkan rekod peribadi masing-masing di setiap kedai yang dimasuki di dalam pusat membeli-belah tersebut, sama ada melalui aplikasi MySejahtera atau secara manual.
Ini bagi memudahkan penjejakan kontak sekiranya berlaku jangkitan wabak Covid-19 di kawasan berkenaan.
“Sebelum ini, seseorang itu perlu melakukan ujian suhu badan setiap kali memasuki kedai dalam sesebuah pusat membeli-belah, jika mereka masuk 10 kedai maka 10 kedailah perlu dilakukan ujian.
“Jadi, mesyuarat khas menteri-menteri hari ini memutuskan ujian suhu hanya perlu dilakukan di pintu masuk pusat membeli-belah sahaja.
“Tetapi rekod peribadi wajib diisi setiap kali memasuki kedai kerana jika berlaku penularan wabak Covid-19 di dalam kedai tersebut maka mudah untuk kita mengesan kontaknya,” katanya semasa sidang medianya hari ini.
Tambah Ismail Sabri, perintah tersebut turut meliputi premis perniagaan di dalam hotel seperti restoran, kafe mahu pun kedai.- MalaysiaGazette