Home Dunia Empat lelaki bersenjata serang bursa saham Pakistan dibunuh

Empat lelaki bersenjata serang bursa saham Pakistan dibunuh

KARACHI – Beberapa lelaki yang bersenjata api menyerang bursa saham Pakistan di Karachi, membunuh sekurang-kurangnya dua orang dan mencederakan beberapa lagi, lapor media tempatan.

Penyerang tersebut menyerbu bursa saham itu selepas melancarkan serangan bom tangan di pintu utama bangunan tersebut.

Laporan terkini memetik polis berkata, anggota pihak keselamatan telah membunuh semua empat lelaki bersenjata dan sedang memeriksa kawasan tersebut, lapor BBC.

Kumpulan militan, Baloch Liberation Army berkata, kumpulan itu bertanggungjawab terhadap serangan tersebut.

Kumpulan-kumpulan etnik Baloch mahukan tanah air yang berasingan dan menuntut sumber asli di wilayah Balichistan dikongsi.

Pakistan berhadapan dengan keganasan militan sejak sekian lama namun serangan seperti yang terjadi pada hari ini jarang berlaku.

Serangan bermula apabila anggota kumpulan militan yang bersenjata rifal automatik melemparkan bom tangan dan mula melepaskan tembakan ke arah pos keselamatan di luar bangunan bursa saham itu.

“Merka datang dengan menggunakan kereta Corolla,” kata Ketua Polis Karachi , Ghulam Nabi Memon kepada Reuters.

Para pengawal keselamatan yang membalas serangan itu membunuh kesemua empat penyerang, kata pihak berkuasa namun para pegawai polis dan anggota keselamatan dibimbangi menjadi mangsa serangan terebut.

Tidak jelas jika lebih ramai penyerang terlibat dan pemeriksaan ke atas bangunan itu sedang dilakukan.

Pengarah Bursa Saham Pakistan, Abid Ali Habib berkata, lelaki bersenjata itu memasuki bangunan dari tempat letak kereta dan ‘melepaskan tembakan ke arah semua orang’.

Menurut laporan, kebanyakan orang berjaya menyelamatkan diri atau menyorok di bilik-bilik yang dikunci. Mereka yang berada dalam bangunan dikeluarkan menerusi pintu belakang, lapor Geo TV. – Agensi