KUALA LUMPUR – Sambil menuntut Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan tegas ke atas akhbar The Star, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) turut menyatakan imej Malaysia pada mata dunia sudah terjejas teruk dengan laporan itu.
Timbalan presidennya, Datuk Sirajuddin Salleh berkata, laporan bertajuk “Malaysian Terrorist Leader” dengan gambar umat Islam sedang sujud bersolat benar-benar merosakkan imej negara ini, selain menghina Islam.
Kata beliau, usaha kerajaan mempromosikan negara ini sebagai destinasi pelaburan dan pelancungan dengan keadaan aman damai serta mesra pelabur selama ini menjadi sia-sia.
“Bagi pelancong atau pembaca luar negara yang tidak memahami keadaan sebenar negara ini akan terpengaruh dengan tajuk muka depan akhbar The Star ini, lebih lagi ia memberi gambaran Malaysia ini negara pengganas atau pengeksport pemimpin pengganas.
“Mereka juga akan merumus atau mengaitkan pengganas adalah Islam. Gambaran begini benar-benar menghina lslam dan meranapkan usaha kerajaan mempromosikan konsep kesederhanaan iaitu Wasatiyah dalam lslam.
“Keadaan ini juga akan turut menjejaskan sifat persefahaman dan toleransi pelbagai kaum dan agama di negara ini,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Sabtu lalu, The Star menerusi muka depannya dilihat sebagai tidak menghormato hari pertama bulan Ramadan tahun ini dengan menyiarkan gambar umat Islam menunaikan solat Terawih dengan tajuk utama “Malaysian terrorist Leader”.
Bagaimanapun, portal online Mstar telah mengeluarkan kenyataan permohonan maaf atas kesilapan itu semalam.
Menurut Sirajuddin, dengan paparan berita seperti itu, orang bukan Islam akan memandang serong kepada umat Islam dengan perpaduan nasional yang cuba dipuluk selama ini juga akan turut terjejas. – MalaysiaGazette