KUALA LUMPUR – Perbelanjaan pelancongan domestik kekal mencatatkan pertumbuhan dua digit iaitu sebanyak 11.5 peratus kepada RM103.2 bilion pada 2019 (2018: 11.4%).
Ini adalah pertumbuhan dua digit bagi empat tahun berturut-turut.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, nilai keseluruhan perbelanjaan pelancongan domestik pada 2019 meningkat melebihi dua kali ganda dalam tempoh tujuh tahun.
Pertumbuhan ini dipacu oleh peningkatan perbelanjaan oleh pelancong dan pelawat harian, masing-masing merekodkan perbelanjaan sebanyak RM67.9 bilion dan RM35.3 bilion.
”Membeli-belah mencatatkan peratus sumbangan tertinggi daripada keseluruhan jumlah perbelanjaan yang telah dibuat oleh pelawat domestik untuk perjalanannya dengan sumbangan sebanyak 37.8 peratus,” katanya dalam terbitan Laporan Survei Pelancongan Domestik 2019.
Menurut beliau, bilangan pelawat domestik meningkat kepada 239.1 juta pada tahun 2019 dengan pertumbuhan sebanyak 8.1 peratus.
Peningkatan bilangan pelawat domestik ini disokong oleh pertumbuhan jumlah pelawat harian dan pelancong masing-masing mencatatkan pertumbuhan sebanyak 8.0 peratus dan 8.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Dari segi volum jumlah perjalanan, pelawat domestik telah melakukan sejumlah 332.4 juta perjalanan dalam negara, yang mana 42.3 peratus daripada keseluruhan perjalanan adalah bagi tujuan melawat saudara-mara dan rakan.
”Trend ini adalah selari dengan budaya penduduk Malaysia yang akan pulang ke kampung pada musim perayaan,” kata Mohd Uzir.
Tambahnya, Negeri Selangor adalah negeri yang paling ramai dikunjungi oleh pelawat domestik pada tahun 2019 iaitu seramai 33.6 juta pelawat, diikuti oleh Kuala Lumpur (22.6 juta), Sabah (22.0 juta), Perak (21.1 juta) dan Sarawak (19.8 juta). – MalaysiaGazette