Home Pendapat Jata Negara simbol kedaulatan watan

Jata Negara simbol kedaulatan watan

Ketua Setiausaha Gerakan Tuntut Malaysia (TUNTUT), Zulhelmi Manor (dua kanan), Aktivis Gerakan Tuntut Malaysia (TUNTUT), Anson Lim (kanan) dan Pengerusi ABATA, Adnan Abu Bakar (dua kiri) menunjukkan laporan polis berkaitan promosi mirip logo JATA Negara yang diubahsuai di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 29 JUN 2020

Tindakan mempamerkan sebuah logo mirip Jata Negara yang telah diubah suai
sebagai penghias muka hadapan sebuah buku adalah perbuatan yang sangat tidak
wajar. Tambahan pula lukisan mirip Jata Negara itu meletakkan seorang kanak-
kanak berbogel di atas bulan dan bintang serta mengubahsuai bentuk dua ekor
harimau, selain menambahkan bentuk seekor buaya di bahagian bawahnya. Jelas ini
adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab sama sekali dan tidak hairanlah isu
ini mencetuskan rasa marah dalam kalangan rakyat yang mencintakan negara ini.

Ironinya Jata Negara adalah sebahagian daripada identiti dan lambang kedaulatan
negara kita. Ianya juga merupakan maruah yang perlu dipertahankan oleh seluruh
warganegara. Oleh itu kita tidak boleh berkompromi jika ada yang dengan sengaja
cuba bermain api dan menghina Jata Negara. Penulis juga sama seperti rakyat
Malaysia yang lain tertanya-tanya apa sebenarnya motif perbuatan mereka ini? Apa
yang cuba disampaikan oleh mereka ini dengan perbuatan seperti itu? Banyak lagi
cara untuk mempromosikan sebuah buku, kenapa perlu menjadikan Jata Negara
sebagai barang mainan? Hanya mereka yang terlibat saja boleh memberikan
jawapan kepada semua persoalan tersebut. Namun walau apapun jawapan mahu pun alasan mereka, matlamat tidak boleh menghalalkan cara. Tindakan ini tetap salah
dan tidak boleh dimaafkan atau dilupakan begitu saja.

Kita sedikit lega apabila dilaporkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah meminta
pihak polis menyiasat isu ini dengan segera. Jelas sekali adalah menjadi satu
kesalahan bagi mana-mana pihak yang menghina lambang Kerajaan Persekutuan
Jata Negara, dan boleh disiasat mengikut Seksyen 3 (1) (a) Akta Lambang dan Nama
(1963). Manakala Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak
Wajar) (Pindaan) 2016, memperuntukkan penjara sehingga tiga tahun dan denda
sehingga RM20,000 bagi kesalahan penggunaan lambang negara termasuk Jata
Negara secara tidak wajar.

Namun di sebalik kejadian ini, apa yang sangat dikesali ialah apabila ada rakyat
Malaysia sendiri yang masih tidak memahami kepentingan Jata Negara dan sanggup
bukan saja mengubah suai tetapi menghinanya sedemikian rupa. Bukankah
keperluan untuk menghormati identiti negara seperti ini telah diajar sejak dibangku
sekolah lagi, dan apakah mereka lupa setiap lambang dan warna yang membentuk
Jata Negara ini ada maksudnya tersendiri. Misalnya, bintang dan anak bulan
mewakili lambang agama Islam yang telah diangkat sebagai agama rasmi bagi
Persekutuan. Dua ekor harimau pula melambangkan simbol keberanian, kegagahan
dan kekuatan rakyat dan negara berdaulat ini. Manakala warna dan lambang lain
semuanya mewakili negeri tertentu termasuk warna kuning sebagai Warna Diraja.
Jelas sekali setiap satunya mempunyai nilai signifikan yang sangat penting kepada
identiti, maruah dan kedaulatan negara ini secara keseluruhannya. Justeru mana
mungkin kita boleh membiarkan ada pihak dengan sengaja atau sewenang-
wenangnya mengubahsuai mahupun mengaibkan Jata Negara ini.

Secara umumnya anggota masyarakat perlu sedar ini bukan perkara yang boleh
dibuat main. Ingatlah, simbol kebesaran dan identiti negara seperti lagu Negaraku,
Jalur Gemilang dan Jata Negara adalah lambang kebanggan negara dan rakyat,
justeru ianya bukan saja perlu dihormati tetapi wajib dipelihara dan dipertahankan.

Hal ini kerana inilah antara simbol kebanggaan yang membuktikan kita adalah
sebuah negara bebas dan berdaulat. Cuba bayangkan jika negara kita masih dijajah,
mana mungkin kita akan ada simbol identiti tersendiri seperti ini?

Jadi hentikanlah perbuatan tidak berfaedah dan tidak patriotik seperti, dan jangan
sesekali cuba bermain api kerana tindakan seperti ini boleh menggugat
ketenteraman awam. Insiden ini dicetuskan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab
dan kita berharap pihak KDN dan polis akan menyiasat secara terperinci dan
mengambil tindakan yang sewajarnya. Jujurnya penerbitan buku ini wajar dihentikan
dan tidak keterlaluan untuk dicadangkan agar KDN mengharamkan penerbitan buku
yang menghina simbol identiti negara ini.

Dalam hal ini diharap rakyat akan tenang dan memberi ruang kepada pihak berkuasa
mengambil tindakan yang sewajarnya. Jangan pula ada yang cuba memanipulasi
situasi ini dan mengambil kesempatan untuk meraih kepentingan peribadi. Ingat, ini
bukan soal politik, agama mahupun bangsa tetapi ini soal identiti dan kedaulatan
negara. Justeru jangan kupas isu ini dalam konteks yang terlalu sempit berpaksikan
politik ataupun bangsa, sebaliknya perlu membuka mata semua pihak bahawa ianya
membabitkan soal maruah rakyat dan negara tercinta. Justeru, di samping dikenakan
tindakan tegas dan hukuman yang setimpal, kita juga menuntut pihak yang yang
terbabit segera mengakui kesilapan dan memohon maaf kepada seluruh rakyat
Malaysia. Jangan sesekali ada lagi yang cuba menghina simbol identiti maruah dan
kedaulatan negara ini!

Noor Mohamad Shakil Hameed, pembaca Malaysiagazette

1 Komen

  1. Kali ini permohonan maaf tidak boleh diterima lagi.
    Kita minta hukuman dgn kadar segera.

Comments are closed.