Home Sukan Jaami kini jadi sebutan

Jaami kini jadi sebutan

Jaami Qureshi

KUALA LUMPUR – Nama Jaami Qureshi tiba-tiba menjadi sebutan kerana pemain kacukan bakal menambah bisa barisan serangan skuad bawah 19 (B-19) tahun menjelang kempen Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-19 di Uzbekistan pada 14 Oktober ini.

Jaami yang kini beraksi sebagai penyerang skuad remaja kelab Brighton dikatakan menjadi idaman skuad B-19 negara untuk digandingkan bersama penyerang sensasi, Luqman Hakim Shamsudin di jentera depan.

Dia yang memiliki pertalian darah dengan rakyat Malaysia menerusi sebelah ibunya yang berasal dari Manjoi pernah disenaraikan oleh skuad B-15 England sebelum ini, dan atas faktor itu pengurusan pasukan negara berhasrat untuk memikat Jaami.

Potensi besarnya dalam bola sepak menyaksikan media London, Mirror menyifatkan pemain kelahiran Amerika Syarikat itu sebagai antara prospek yang mungkin mewakili skuad kebangsaan England pada masa depan.

Sebagai rekod, anak bongsu daripada lima beradik itu memulakan karier di akademi Brentford seawal enam tahun sebelum dia beraksi bersama akademi Chelsea selama tiga tahun dan kemudiannya Fulham.

Brighton kemudian mengintai khidmatnya sebelum dia menandatangani kontrak selama dua tahun bersama kelab itu bermula usia 12 hingga14 tahun.

Potensi yang dimilikinya menyaksikan Brighton menyambung kontraknya selama empat tahun dan biasiswa termasuklah kontrak profesional selama dua tahun bersama skuad utama bergantung pada prestasinya ketika berusia 17 tahun.

Malah penyerang itu memiliki kelebihan kerana selain bermain bola sepak, dia turut bermain ragbi dan bergelar atlet kebangsaan bagi acara pecut 100 meter (m) dan 200m.

Di Uzbekistan nanti, skuad kendalian Brad Maloney diletakkan dalam Kumpulan D bersama Qatar, Tajikistan dan Yaman dengan sasaran adalah untuk mara ke separuh akhir sekali gus menempah tiket ke Piala Dunia B-20 di Indonesia tahun depan. – MalaysiaGazette