KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar hari ini bertindak enggan menjawab soalan wartawan Malaysiakini setelah melabelkan portal pro pembangkang itu sebagai media berat sebelah.
Ia berlaku dalam satu sidang media majlis di ibu negara yang turut dihadiri pelbagai agensi media termasuk Malaysiakini.
“Saya tidak mengambil soalan daripada anda. Saya tahu dari mana kamu datang, anda (Malaysiakini) pamerkan kewartawanan berat sebelah. Tiada soalan daripada anda,” katanya.
Pada awalnya wartawan portal itu ingin bertanya mengenai jumlah peruntukan yang disalurkan kerajaan dalam program Transformasi 50 (TN50) yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini.
TN50 adalah satu usaha untuk membentuk masa depan Malaysia bagi tempoh tahun 2020 hingga tahun 2050.
Sebelum ini, dialog TN50, Najib bersama kira-kira 300 penggiat seni di Seri Perdana kecoh apabila pelawak Sulaiman Yassin atau lebih dikenali sebagai Mat Over menampar penerbit filem Datuk David Teo.
Kejadian bermula apabila penerbit itu merampas mikrofon daripada Rosyam selaku moderator.
Tindakan Teo itu untuk menyuarakan pendapatnya supaya penggiat seni di barisan belakang dapat peluang untuk bercakap.
Berdasarkan rakaman video, Mat Over kemudian meluru ke arah Teo, pemilik Metrowealth Pictures (MiG), sebelum menamparnya di depan Najib.
Kedua-dua penggiat seni itu kemudiannya berdamai di hadapan Perdana Menteri. – MalaysiaGazette.