Home Nasional UIAM bangunkan MyTrace bantu KKM jejak kontak

UIAM bangunkan MyTrace bantu KKM jejak kontak

Dr. Norbik Bashah Idris mengetuai projek MyTrace.

KUALA LUMpUR – Sekumpulan tenaga pakar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) membangunkan aplikasi MyTrace yang boleh digunakan bagi membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjejaki kontak rapat pesakit Covid-19.

Kumpulan pakar tersebut yang diketuai oleh Ketua Pegawai Teknologi Maklumat(CIO) UIAM, Prof. Datuk Dr. Norbik Bashah Idris bersama-sama 5 pensyarah dan Jurutera Perisian dari IAT & Google (Malaysia) telah berusaha selama sebulan untuk membangunkan aplikasi tersebut.

Aplikasi MyTrace dibangunkan melalui kerjasama strategik beberapa Agensi Kerajaan Malaysia: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Malaysian Institute of Microelectronic Systems(MIMOS), Malaysian Global Innovation and Creativity Centre (MaGIC), Cybersecurity Malaysia, bersama-sama dengan Google (Malaysia).

Prof. Dr. Norbik berkata, aplikasi ni amat penting untuk membantu KKM mencari atau membuat jejak pengesanan sekiranya seseorang itu positif Covid-19, sekali gus mempercepatkan lagi usaha membendung penularan pandemik tersebut.

“MOSTI melalui Menterinya Khairy Jamaluddin telah meminta UIAM membantu KKM membangunkan satu aplikasi yang boleh membuat pengesanan rapat dan dalam masa yang sama ia dapat memudahkan KKM mendapatkan maklumat supaya penularan dapat disekat dengan serta-merta”, katanya.

Aplikasi ini boleh dimuat turun melalui pautan (link) di dalam aplikasi MySejahtera

Pengesanan kontak ialah proses identifikasi orang awam yang berada dalam jarak yang “dekat” dengan individu yang telah disahkan positif Covid-19.

Ia membolehkan pihak KKM mengesan dan menghubungi individu-individu tersebut sekaligus merancang tindakan seterusnya.

Apabila seseorang yang positif Covid-19, pengguna akan dihubungi oleh pegawai KKM melalui panggilan telefon dan SMS.

”Pangkalan data yang ada membolehkan pegawai KKM menghubungi pengguna dan data yang dikumpul ialah – Unique User ID (UUID), versi pengoperasian samada Android atau iOS, waktu pertemuan dan nilai isyarat Received Signal Strength Indicator (RSSI). Yang penting, MyTrace tidak mengumpul sebarang data berkaitan geolokasi pengguna kerana maklumat demikian dianggap sensitif.”, ujarnya lagi.

Aplikasi MyTrace yang dibangunkan oleh UIAM ini kini dimiliki dan dikendalikan sepenuhnya oleh Kerajaan Malaysia mematuhi standard keselamatan maklumat negara ini.

Dengan menggunakan aplikasi tersebut pengguna hanya perlu mengaktifkan tetapan Bluetooth setiap masa supaya pengesanan dapat dilakukan.

Aplikasi MyTrace mempunyai ciri Bluetooth Kuasa Rendah (BLE) yang menggunakan tenaga bateri secara minima. Oleh itu, aplikasi ini tidak akan menggunakan tenaga bateri telefon bimbit pengguna secara berlebihan untuk tujuan mengumpul informasi pengesanan kontak yang berterusan.

Aplikasi ini boleh dimuat turun melalui pautan di dalam aplikasi MySejahtera ataupun terus melalui Google Play Store dan Apple App Store.

Oleh kerana MyTrace telah dibangunkan untuk menjadi pelengkap kepada MySejahtera, pengguna disarankan memuat turun aplikasi MySejahtera terlebih dahulu sebelum memuat turun aplikasi MyTrace untuk proses pengesanan kontak yang lebih berkesan.

Pengguna boleh memuat turun aplikasi tersebut di peranti masing-masing melalui sistem pengoperasian Google Play(Android) dan IOS untuk pengguna produk Apple. Pastikan tetapan Bluetooth sentiasa diaktifkan.- MalaysiaGazette