KUALA LUMPUR – Veteran UMNO Malaysia mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan tegas terhadap akhbar The Star termasuk menggantung sementara lesen penerbitan syarikat media berkenaan.
Setiausaha Agungnya, Datuk Mustapha Yaakub berkata, tindakan memberi amaran kepada akhbar berkenaan hanya akan memperlekehkan perana KDN.
“Hanya tindakan tegas sahaja boleh menjadi pengajaran kepada mana-mana syarikat yang tidak menghormati keharmonian beragama di negara ini.
“KDN tidak sewajarnya berlembut kerana ianya akan menjadi bahan senda oleh rakyat dan salah tanggap terhadap kerajaan yang tidak berani bertindak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahad lalu, akhbar The Star memaparkan gambar umat Islam menunaikan solat Tarawih pada malam pertama Ramadan, namun tajuk muka depannya tertulis ‘Malaysia Terrorist Leader’.
Halaman muka depan akhbar itu menerima kritikan ahli politik daripada UMNO, PKR, Pas dan PAN yang mendakwa ia menyebabkan persepsi negatif terhadap Islam.
Mengulas lanjut, Mustapha juga mahu Majlis Tertinggi (MT) Barisan Nasional (BN) membawa isu tersebut dalam mesyuarat bulanannya.
“Veteran mahu MT BN menuntut MCA supaya memberi penjelasan dan menyingkir Ketua Pengarang The Star dengan serta merta,” tegasnya.
Katanya, walaupun The Star telah memohon maaf dengan alasan muatan berita itu tidak disengajakan, namun ianya jelas membuktikan akhbar itu telah dengan sengaja melakukannya dengan niat jahat untuk menghina Islam.
“The Star sedari dahulu tidak ikhlas dalam hal yang berhubung dengan berita-berita yang memaparkan Islam sebagai agama keganasan.
“The Star lebih suka memetik berita dari sumber barat yang anti Islam dan ianya jelas menunjukkan akhbar ini anti Islam dan tidak peka dengan sensitiviti orang Islam negara ini,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan tindakan The Star itu seolah-olah ghairah menonjolkan berita negatif tentang Islam berbanding agama lain.
“Sudah tentunya The Star mempunyai niat jahat terhadap Islam dengan penyiaran berita seperti itu,” jelasnya.
Tambahnya, sebagai akhbar milik MCA selaku parti komponen Barisan Nasional, mereka sepatutnya faham mengenai semangat setiakawan terhadap parti pemerintah.
“Apakah MCA tidak sedar peranan The Star yang anti Islam itu akan merosakkan keharmonian BN atau MCA juga menjadi musuh dalam selimut dan gunting dalam lipatan kepada BN?” soalnya lagi. – MalaysiaGazette