KUALA LUMPUR – Tertunai sudah janji yang pernah dilafazkan penyanyi tersohor, Datuk Sri Siti Nurhaliza untuk muncul dengan buah tangan terbaharu iaitu sebuah album solo.
Selama tiga tahun menanti dengan penuh kesabaran serta termasuk berdepan dengan pelbagai kekangan seperti penularan wabak Covid-19 yang membuatkan pembikinan album ini tertangguh, akhirnya kerinduan peminat terubat dengan kemunculan album ManifestaSITI2020 yang dilancarkan semalam.
Melihat kepada judulnya sahaja, sudah dapat membayangkan maksud tersurat serta tersirat yang ingin disampaikan penyanyi bersuara ampuh ini kepada mereka yang mendengarnya.
Menurut Siti Nurhaliza, album ini boleh dianggap sebagai satu terjemahan emosi dan juga suara hatinya yang ingin disampaikan kepada semua peminat, selain ingin mencatat kenangan peribadi pada tahun yang bukan sahaja unik dari segi angkanya tetapi juga bakal diabadikan dalam lipatan sejarah dunia.
“ManifestaSITI2020 ini adalah buah tangan saya pada tahun 2020 dan tentunya saya mahu mengabadikan sesuatu yang istimewa sempena kedatangan tahun yang mempunyai sejarah tersendiri kepada dunia ini.
“Saya hanya mahukan pencinta muzik, peminat dan penggemar lagu-lagu saya, bersama-sama di dalam manifestasi yang saya lakukan ini. Bagi saya, berkarya sudah menjadi tanggungjawab dan saya tidak mahu hanya menyanyi semata-mata tetapi biarlah karya saya itu mampu memberi manfaat dan juga membuka mata orang,” jelas Siti.
Sebagai penyanyi, Siti mengakui cukup bertuah kerana sepanjang dua dekad mengabadikan diri dalam dunia seni, dia sudah bekerjasama dengan ramai komposer, lama dan juga baharu yang masing-masing dilihat mempunyai keistimewaan tersendiri.
“Muzik ada anjakan tersendiri, setiap tahun ada beribu-ribu karya dihasilkan di seluruh dunia dan istimewanya setiap komposer tetap berjaya keluar dengan karya tersendiri,” ujarnya pada sidang media pelancaran album itu semalam.
Apa yang menarik, walaupun ada yang mengatakan penjualan album fizikal ketika ini agak lembab, namun itu tidak berlaku kepada artis yang mendapat jolokan penyanyi Nombor Satu Negara ini.
Sejak tempahan awal dibuka 29 Jun lalu, dalam masa beberapa jam sahaja sebanyak 1,500 buah album Siti habis dijual sehingga memaksa pihak penerbit iaitu Universal Music Malaysia dan Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn. Bhd. menambah lagi stok cakera padat bagi memenuhi permintaan peminat.
Album ManisfestaSITI2020 boleh didapati di platform SNP On Pay dengan harga RM46.90. Penghantaran juga boleh dibuat sehingga ke Singapura, Brunei dan Indonesia.
Dalam perkembangan lain, mereka yang berminat untuk mendapatkan album ManifestaSITI2020 Edisi Khas yang mengandungi pelbagai barangan cenderahati bolehlah mula menempahnya di platform SNP On Pay mulai 6 Julai ini.
Sementara itu, muzik video rasmi lagu 7 Nasihat hasil kolaborasi Siti bersama Kmy Kmo dan Luca Sickta boleh ditonton di laman YouTube Siti Official Video pada 7 Julai ini.
Antara lagu yang terkandung dalam album itu adalah Siapa Tak Mahu, Aku Bidadari Syurgamu, Kasihku Selamanya, Tertulis Nama Kita, 7 Nasihat, Kuasa Cintamu, Takhta Dunia, Teratai Menjelma, Basyirah, Terang dan Anta Permana. – MalaysiaGazette