KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan bahawa garis panduan yang akan diperkenalkan dalam ibadah korban masih tertakluk kepada pematuhan Operasi Prosedur Standard (SOP) bagi memutuskan rantaian wabak Covid-19.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, walaupun ibadat korban dituntut di dalam Islam, namun ia perlu bersesuaian dengan suasana semasa.
Lebih membimbangkan ketika negara berusaha memutuskan rantaian Covid-19, apa jua acara keramaian perlu mematuhi normal baharu termasuk penjarakan sosial dan mengamalkan kebersihan serta keselamatan diri.
“SOP korban sebenarnya kita telah kita kemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN). Bila membabitkan keramaian, penjarakan sosial itu, perlu ditekankan.
“Walaupun dalam saat kita melaksanakan perintah Tuhan dengan cara berkorban, kita juga perlu mematuhi SOP untuk memutuskan rantaian Covid-19,” katanya pada sidang media di PPR Kerinchi, Bangsar, hari ini.
Terdahulu Zulkifli merasmikan Projek Infaq Daging anjuran Pusat Pungat Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dengan Mitron Group Sdn Bhd.
Seramai 3,000 isi rumah di sekitar Kuala Lumpur menerima 3 kilogram daging korban setiap isi rumah sempena Hari Raya Korban yang dijangka disambut umat Islam pada 31 Julai ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff dan Pengarah Urusan Mitron Group Sdn Bhd, Dr Ahmad Rusydi Mohamad.
Dalam pada itu, Zulkifli juga memberi jaminan garis panduan ibadat korban itu akan dikeluarkan sebelum sambutan Hari Raya Haji dalam bentuk yang mudah difahami oleh umat Islam.
“Insya-Allah kami akan keluarkan ya dan sebenarnya perkara tersebut telah berada pada peringkat akhir Jakim dan telah dibentangkan kepada MKN.
“Insya-Allah kita akan buat dalam bentuk info grafik atau dalam bentuk yang memudahkan mereka memahami cara yang boleh dilaksanakan ketika upacara ibadat korban dilaksanakan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette