JOHOR BAHRU – Empat pemancing dan seorang tekong ditemui selamat, selepas bot dinaiki mereka mengalami kerosakan enjin dan hanyut selama lapan jam, perairan Pulau Seri Buat, Rompin dekat Pahang, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, kesemua lelaki tempatan berumur antara 58 dan 73 tahun itu, ditemui pada kira-kira 11.40 malam di kedudukan kira-kira 6.5 batu nautika timur laut Pulau Layak, Rompin.
Beliau berkata, kesemua mangsa turun ke laut kira-kira 9 pagi dari Kuala Rompin, Pahang, sebelum panggilan kecemasan menerusi talian MERS 999 diterima pihak Maritim Malaysia, daripada tekong terbabit pada kira-kira 3.30 petang.
“Sejurus menerima panggilan kecemasan, Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim Johor Bahru (MRSC-JB) menggerakkan bot Pengawal 32 dari Zon Maritim Mersing, bagi melakukan pengesanan ke atas bot mangsa,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurutnya, maklumat kejadian turut disalurkan kepada komuniti maritim setempat dan agensi terlibat, dalam membantu usaha mencari dan menyelamat.
Aminuddin berkata, lokasi penemuan kesemua mangsa adalah, kira-kira 10.6 batu nautika barat laut dari lokasi terakhir mereka dilaporkan menghadapi masalah kerosakan enjin bot.
“Kesemuanya ditemui dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan di dalam bot tersebut.
“Mereka kemudian dipindahkan ke bot Pengawal 32, manakala bot yang mengalami kerosakan itu ditunda untuk dibawa masuk ke Jeti Maritim Malaysia Tanjung Gemok, Pahang,” katanya dengan menambah keesemuanya juga selamat tiba di darat pada kira-kira 2.30 pagi tadi.
Aminuddin sehubungan itu, menasihati komuniti maritim yang menjalankan sebarang aktiviti di laut supaya menitik beratkan faktor keselamatan dan membawa bersama ‘Personal Locator Beacon’ (PLB), ketika keluar ke laut, yang mana alat berkenaan dapat membantu menyingkatkan tempoh masa pencarian dengan menghantar isyarat kecemasan berserta lokasi. – Bernama