Home Politik Ketua, Timbalan Wanita PKR baharu diumum tengah Julai ini – Rodziah

Ketua, Timbalan Wanita PKR baharu diumum tengah Julai ini – Rodziah

Rodziah Ismail

PETALING JAYA – Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR dijangka mengumumkan Ketua Wanita dan Timbalan Ketua Wanita yang baharu parti itu selewat-lewatnya pertengahan bulan ini.

Menurut ahli MPP PKR, Rodziah Ismail, sebanyak enam calon layak dipertimbangkan untuk mengisi kekosongan Ketua Wanita parti itu.

Jelasnya, keenam-enam calon Ketua Wanita Keadilan itu pula merupakan ahli MPP wanita.

“Kita ada ramai bermula dengan Fuziah Salleh, Nurin Aina, Dr Zaliha Mustafa, Raiyan Abdul Rahim, Elizabeth Wong, Gan Pei Nie dan saya sendiri, semuanya ada enam ahli MPP wanita.

“Kita pun telah berbincang dan kita telah pun beri mandat itu kepada MPP dan tidak lama lagi akan dinamakan Ketua Wanita.

“Kita serah kepada Presiden untuk berbincang dengan Biro Politik dan MPP. Sepatutnya dalam seminggu dua inilah (umum pengganti),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR, hari ini.

Beliau mengulas kekosongan jawatan Ketua Wanita Keadilan oleh Haniza Talha selepas Biro Politik memecat keanggotaan dalam parti itu pada 29 Jun lalu.

Manakala jawatan Timbalan Ketua Wanita kosong selepas penyandangnya, Dr Daroyah Alwi mengumumkan keluar parti pada 13 Jun lalu.

Sementara itu, jelasnya, bagi kekosongan jawatan Timbalan Ketua Wanita pula, ia boleh dicalonkan dalam kalangan Naib-Naib Ketua sayap parti itu.

“Jawatan Timbalan Ketua Wanita boleh dicalonkan dalam kalangan Naib-Naib Wanita Keadilan,” katanya.

Dalam pada itu, pengganti kepada dua jawatan sayap Keadilan itu akan dibuat secara lantikan dan bukan melalui proses pemilihan parti seperti sebelum ini.

“Kekosongan itu luar biasa sedikit, Ketua Wanita tiada, Timbalan Ketua Wanita pun tiada. Mengikut Perlembagan Keadilan, lantikan itu boleh dilakukan.

“Cuma yang ada sekarang ini hanyalah Naib-Naib sahaja, jadi dalam konteks ini semua baik MPP ataupun MPWP berpandangan bahawa jawatan itu tidak boleh diisi dua kali.

“Sepatutnya jawatan ini dipilih, kalau pemilihan melibatkan seluruh Malaysia sebab keahlian kita seluruh Malaysia satu orang satu undi. Jadi akan mengambil masa lagi.

“Atas dasar perkara ini perlu disegerakan, jadi pimpinan pusat buat pandangan itu,” katanya.

Katanya lagi, berbeza dengan jawatan Timbalan Ketua Wanita di mana ia boleh disandang oleh Naib-Naib Ketua sayap parti itu.

“Naib hanya boleh mengisi timbalan, tetapi Ketua Wanita Pusat tidak boleh diisi oleh Timbalan, dua takuk maknanya.

“Sebab itu resolusi dibuat oleh Majlis Pimpinan Wanita, kita beri mandat itu kepada pihak MPP.

“Pihak pimpinan pusat pula telahpun menerima resolusi itu untuk mempertimbangkan calon-calon dia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Fuziah Saleh si montel tu yg paling layak laa..sebab dia kaki fitnah paling tegar tu…

Comments are closed.