Home Dunia Kesilapan sistem – 101 warga Singapura di luar negara tak mengundi

Kesilapan sistem – 101 warga Singapura di luar negara tak mengundi

Gambar hiasan

SINGAPURA- Seramai 101 rakyat Singapura di luar negara tidak dapat mengundi pada pilihan raya umum 10 Julai ini akibat kesilapan dalam sistem Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA).

ICA dan Jabatan Pilihan Raya (ELD) dalam satu kenyataan bersama semalam berkata, kesilapan itu menyebabkan permohonan untuk mendaftar alamat kontak setempat (LCA) bagi tujuan mengundi tidak diproses.

Katanya, ICA dimaklumkan ELD pada 1 Julai lalu yang permohonan beberapa warga Singapura di luar negara untuk mendaftar LCA tidak diproses.

Warga Singapura yang menukar alamat pada kad pengenalan mereka kepada alamat di luar negara dan berhasrat mengundi wajib memberi LCA menerusi laman web ELD.

Berikutan pemeriksaan oleh ICA, ia mendapati bagi beberapa kes, sistem itu gagal menjana salinan cetak untuk dihantar kepada pemilik LCA.

Oleh itu, ELD tidak menerima LCA yang disahkan bagi warga Singapura ini daripada ICA dan disebabkan itu ia tidak menyenaraikan nama mereka dalam daftar pengundi.

Pada 13 Mac lalu, ELD mengumumkan senarai daftar pemilih dibuka untuk semakan dari 14 hingga 27 Mac untuk pengundi, termasuk rakyat Singapura di luar negara.

Kenyataan itu memaklumkan dalam tempoh semakan, warga Singapura yang terjejas itu tidak membuat sebarang tuntutan kepada ELD untuk disenaraikan dalam daftar pemilih.

“Ini bermakna 101 warganegara tidak dapat mengundi dalam pilihan raya umum memandangkan daftar pemilih disahkan pada 15 April 2020.”

ICA meminta maaf kepada 101 warga Singapura yang terjejas akibat kesilapan itu dan sedang menghubungi mereka.- BERNAMA