Home Ekonomi Hanya 23 peratus tapak binaan sahaja lagi belum beroperasi – CIDB

Hanya 23 peratus tapak binaan sahaja lagi belum beroperasi – CIDB

CIDB mengarahkan sebanyak 19 tapak pembinaan ditutup semalam kerana gagal patuh SOP. Gambar hiasan

CHERAS – Hanya kira-kira 23 peratus tapak binaan sahaja, yang masih belum dapat memulakan operasi setakat ini berikutan beberapa faktor seperti masalah kewangan, keperluan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan kekurangan tenaga kerja.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Datuk Ir Ahmad Asri Abdul Hamid berkata, angka itu menunjukkan penurunan positif, berbanding pada fasa awal pembukaan semula sektor ekonomi pada 4 Mei lepas, yang menyaksikan 84 peratus tapak binaan tidak beroperasi.

“Kita berusaha dan bersungguh-sungguh membantu hasrat kerajaan mempercepat pemulihan ekonomi dan menggalakkan syarikat-syarikat ini beroperasi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program ujian saringan COVID-19 pekerja asing, melalui Program Saringan Prihatin (PSP) Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (PERKESO) di sini hari ini.

Mengulas lanjut perkara itu beliau berkata, menerusi kaji selidik dijalankan pihaknya pada bulan lepas, 35 peratus daripada tapak binaan yang masih belum beroperasi adalah disebabkan masalah kewangan, 21 peratus disebabkan keperluan pematuhan SOP terutamanya kos ujian saringan COVID-19, selain masalah kekurangan tenaga kerja.

Beliau bagaimanapun optimis kekangan-kekangan tersebut dapat diatasi dan diselesaikan, menerusi pelbagai inisiatif yang dilaksanakan kerajaan, misalnya melalui Pelan Jana Semula Ekonomi (PENJANA) yang turut menyediakan bantuan kepada syarikat-syarikat berkaitan.

Dari segi masalah pematuhan SOP yang melibatkan kos ujian saringan COVID-19 dan masa menunggu giliran yang lama, beliau berkata perkara itu juga diuruskan dengan cekap, melalui kerjasama dengan PERKESO menerusi PSP.

“Atas sebab itu, kita adakan program hari ini untuk tekankan kepada semua, jika alasannya SOP maka PERKESO sediakan program ini percuma, urusan pun cepat, kita tidak mahu SOP dijadikan penghalang untuk beroperasi,” katanya.

Berhubung kekurangan tenaga kerja dalam sektor pembinaan dalam negara, beliau berkata ia berikutan ramai pekerja asing yang pulang ke negara masing-masing sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dan tidak dapat memasuki semula negara ini kerana sempadan masih ditutup.

“Jadi atas sebab itu maka kita hadapi masalah kekurangan tenaga kerja. Kita nak galakkan pekerja tempatan untuk mengisi kekurangan ini dan CIDB sendiri ambil inisiatif, tingkatkan latihan dan penempatan pekerja tempatan dalam sektor pembinaan,” katanya.

Beliau berkata dalam tempoh sebulan pelaksanaan PKP sejak 18 Mac, sektor pembinaan kerugian RM11 bilion dan disebabkan itu pihaknya telah mengemukakan cadangan untuk membuka 13 kategori kerja di bawah industri pembinaan.

“Apabila kita buka 13 kategori kerja ini maka nilai kerugian telah berkurangan kepada RM6.2 bilion (sebulan),” katanya.

Dari segi pematuhan SOP di tapak binaan beliau berkata, menerusi lawatan ke 3,210 tapak yang telah beroperasi, sebahagian besar atau 86 peratus daripadanya didapati mematuhi SOP, manakala selebihnya telah diberikan amaran dan tindakan tutup kerana tidak mematuhi SOP.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Datuk Dr. Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan, turut meninjau program ujian saringan COVID-19 kepada 700 pekerja asing dari 59 syarikat kontraktor di Pusat Konvensyen CIDB dekat sini.

Sehingga kini, seramai 33,613 pekerja warga asing meliputi pelbagai sektor telah menjalani ujian saringan COVID-19 dan daripada jumlah itu, 40 peratus adalah dari sektor pembinaan.- BERNAMA