Home Nasional Dua lagi kluster Covid-19 diisytihar tamat

Dua lagi kluster Covid-19 diisytihar tamat

Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan sukacita memaklumkan dua lagi kluster Covid-19 iaitu Kluster Gombak dan Kluster Pangsapuri Cheras diistytiharkan tamat mulai hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham berkata, kedua-dua kluster ini juga merupakan kluster berkaitan tempat kediaman di kawasan Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Menurut beliau, Kluster Gombak telah dilaporkan KKM pada 18 Mei lalu hasil daripada aktiviti pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) kes positif Covid-19 di sebuah kuarters kediaman di Gombak.

“Sehingga 4 Julai lalu (Sabtu) seramai 200 orang telah disaring dan didapati lima kes yang positif Covid-19 dan kluster ini melibatkan semua warganegara Malaysia.

“Manakala Kluster Pangsapuri Cheras pula telah dilaporkan pada 1 Jun lalu hasil daripada aktiviti pengesanan secara kes aktif (Active Case Detection) kes positif COVID-19 di sebuah pangsapuri di Cheras.

“Sehingga 4 Julai lalu, seramai 144 orang telah disaring dan didapati lapan kes disahkan positif Covid dna kluster ini melibatkan satu kes positif warga Indonesia (iaitu daripada
tiga bukan warganegara yang telah disaring) dan selebihnya adalah warganegara Malaysia,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Justeru Noor Hisham berkata, kes pertama kedua-dua kluster berkenaan telah dikesan hasil saringan pelajar pusat tahfiz dan maahad yang merupakan salah sebuah kumpulan sasar yang dikenalpasti berisiko tinggi.

Menurut beliau,ia adalah pendekatan tertumpu (targeted approach) yang setakat ini telah membantu mengesan banyak kes Covid-19.

“Sukacita dimaklumkan, daripada siasatan yang telah dijalankan, didapati tiada kes positif terbaharu Covid-19 yang lain daripada kedua-dua pusat tahfiz dan maahad yang terlibat setakat ini.

“KKM ingin mengucapkan syabas kepada semua pihak yang telah memberikan perkhidmatan masing-masing dalam segala aktiviti pengesanan kes dan langkah pembendungan penularan jangkitan berkaitan kluster ini,” tegas beliau.- MalaysiaGazette