Home Nasional Lebih 10,000 rakyat Malaysia masih terkandas atau berpotensi terkandas

Lebih 10,000 rakyat Malaysia masih terkandas atau berpotensi terkandas

Arkib Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia membuat pemeriksaan bagasi milik rakyat Malaysia yang baru pulang dari luar negara sebelum dibawa menaiki bas ke pusat kuarantin bagi mencegah penularan wabak Covid-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 27 APRIL 2020.

KUALA LUMPUR – Dianggarkan seramai 457,000 rakyat Malaysia masih berada di luar negara dan daripada jumlah itu hanya 387,702 individu telah berdaftar dengan perwakilan Malaysia.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Luar Negara telah mengenal pasti 10,484 rakyat Malaysia yang terkandas dan berpotensi untuk terkandas di luar negara.

“Kerajaan sedang berusaha untuk memudahcara kepulangan rakyat Malaysia yang terkandas.

“Walaubagaimanapun, terdapat beberapa kekangan peraturan negara-negara asing termasuk larangan pesawat asing untuk mendarat di negara mereka.

“Kerajaan juga ingin menyeru rakyat Malaysia yang masih tidak berdaftar dengan perwakilan masing-masing untuk berbuat demikian dalam masa yang terdekat,” katanya semasa sidang media hari ini.

Tambah Ismail Sabri, Wisma Putra juga telah diminta untuk berbincang dengan rakan sejawatnya bagi mencari jalan penyelesaian di samping meneliti perancangan serta kos yang perlu ditanggung bagi proses repratriasi rakyat Malaysia.

Mesyuarat juga katanya, mencadangkan supaya Tabung Covid-19 di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) diperluaskan untuk membantu usaha membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas. – MalaysiaGazette