KUALA LUMPUR – Agensi berita antarabangsa Al Jazeera sepatutnya mencontohi media negara ini dalam menyediakan laporan mengenai perkembangan wabak Covid-19.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, agensi berita itu harus belajar dengan media Malaysia tentang bagaimana melaporkan berita berkenaan wabak berkenaan agar mereka yang mengikutinya tidak keliru.
Katanya, apa yang dilakukan oleh Al Jazeera pada masa ini hanya memburukkan lagi keadaan lebih-lebih lagi mereka telah menjejaskan imej pejuang di barisan hadapan.
“Al Jazeera ini memburukkkan nama barisan hadapan dan mencemarkan imej negara kita dengan laporan tersebut.
“Mereka sepatutnya belajar dengan rakan-rakan media di Malaysia ini dengan mencontohi bagaimana laporan dibuat dengan begitu tepat dan membantu,” katanya dalam satu temubual dengan sebuah stesen televisyen hari ini.
Menurut Adham lagi, tuduhan Al Jazeera sebagaimana yang disiarkan menerusi dokumentarinya berhubung perkara itu telah terpesong dan semua fakta yang diberikan tidak tepat.
Ujarnya, sebagai sebuah agensi berita antarabangsa, Al Jazeera sepatutnya membantu Malaysia menyampaikan maklumat yang betul agar semua pihak faham tugas kerajaan yang mahu memastikan rakyat mahupun warga asing di negara ini selamat daripada wabak itu.
Sebelum ini, Al-Jazeera menerusi sebuah segmennya menerbitkan laporan video bertajuk ‘Dipenjara ketika Lockdown Malaysia: Kami menyiasat mengapa pandemik Covid-19 memaksa pekerja asing – tulang belakang ekonomi Malaysia – untuk bersembunyi’.
Menurut laporan itu, selama bertahun-tahun pekerja asing telah melakukan kerja berbahaya dan kotor untuk Malaysia.
Bagaimanapun, ketika pelaksanaan PKP, pekerja asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah terpaksa hidup dalam ketakutan di sini.
Tanpa pekerjaan mereka dipaksa hidup dalam kawasan yang sesak dan ada yang kelaparan dan bergantung kepada bantuan makanan.
Laporan itu turut mendakwa pihak berkuasa memasang dawai berduri di kawasan miskin di Kuala LUmpur dan membuat ujian ke atas warga asing, mengambil cap jari mereka dan menahan mereka yang tidak mempunyai dokumen sah. – MalaysiaGazette
Saman Al Jazeera