KUALA LUMPUR – Kazakhstan mahu mengekalkan jalinan kerjasama dan perkongsian dinamik dengan Malaysia dalam pelbagai sektor terutamanya menerusi pelancongan dan seni budaya.
Duta Kazakhstan ke Malaysia, Bolat Imanbayev berkata, banyak projek telah dirangka bersama, antaranya mengadakan pertemuan dengan Pertubuhan Islam untuk Keselamatan Makanan (IOFS) dan Kementerian Perusahaan Utama Malaysia pada tahun lalu.
Jelas beliau, mesyuarat itu bertujuan untuk menyampaikan inisiatif Presiden Pertama Republik Kazakhstan Nursultan Nazarbayev ke Malaysia mengenai penubuhan IOFS yang membolehkan negara-negara Islam menyelaraskan tindakan bersama.
“Ia bagi memberikan bantuan kecemasan dan kemanusiaan yang diperlukan untuk menggerakkan dan menguruskan sumber kewangan dan pertanian supaya dapat meningkatkan keselamatan makanan.
“Dalam keadaan sekarang inisiatif ini terbukti tepat pada masanya dan sangat penting untuk kolaborasi masa hadapan bagi kepentingan negara anggota IOFS dan dalam kerangka Organisasi Kerjasama Islam,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Malaysia & The Arab World (ASWAQ) di sini hari ini.
Imanbayev menambah, dari segi pelancongan, syarikat penerbangan nasional Kazakhstan iaitu Air Astana yang memulakan operasi penerbangan berjadual di laluan Almaty – Kuala Lumpur – Almaty sejak Oktober 2009 telah memberi kesan positif kepada perkembangan pelancongan antara negara.
Jelas beliau, sebagai contoh, hampir 15,000 pelancong dari Kazakhstan mengunjungi Malaysia pada tahun lalu dan kira-kira 10,000 pelancong dari Malaysia mengunjungi Kazakhstan dalam tempoh yang sama.
Katanya, ia adalah impak yang membuahkan hasil daripada pelaksanaan projek Presiden Pertama untuk mewujudkan syarikat penerbangan nasional Kazakhstan dan mengembangkan laluan antarabangsa utama untuk tarikan pelancongan dan perniagaan yang lebih baik ke Kazakhstan, dan juga di Malaysia.
“Kami juga mempunyai banyak acara lain dari segi budaya antaranya mengadakan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Seni pada tahun lalu untuk mengadakan buat pertama kalinya di Asia Tenggara iaitu pameran khas ‘Manusia Emas’ di Muzium Nasional Kuala Lumpur.
“Selama sebulan, kami telah menunjukkan warisan sejarah dan budaya negara kita yang kaya dan mempamerkan 346 barang dari Muzium Nasional Kazakhstan.
“Pameran ini menarik minat lebih daripada 21,000 orang, yang mengunjungi acara tersebut,” katanya.
Imanbayev berkata, sejak menjalin hubungan diplomatik dengan Malaysia pada tahun 1992, kerjasama dua hala antara dua negara tekah berkembang dengan stabil.
Menurutnya, selama 28 tahun, pihaknya telah mewujudkan dialog yang membina berdasarkan kepercayaan dan faedah bersama.
“Pada masa kini, Malaysia adalah salah satu rakan politik dan ekonomi Kazakhstan yang paling penting di Asia Tenggara.
“Mekanisme yang diperlukan seperti perundingan politik, Jawatankuasa Perdagangan dan Kerajaan Bersama Antara Kerajaandan Majlis Perniagaan diwujudkan bertujuan untuk mengembangkan hubungan dua hala dalam semua dimensi sesuai dengan perjanjian yang dicapai antara dua antara.
“Pada tahun 2019, Kumpulan Persahabatan Parlimen Malaysia – Kazakhstan juga ditubuhkan di Dewan Perwakilan Parlimen Malaysia,” katanya.
Ketika ini, di bawah pemerintahan Presiden Kassym-Jomart Tokayev yang dilantik menjadi Presiden pada 12 Julai 2019 iaitu setahun selepas pengambilalihan kuasa pertama dari Presiden Nursultan Nazarbayev yang menyaksikan hubungan Malaysia-Kazakhstan akan diperkukuhkan.
Semalam, Kazakhstan telah menyambut Ulangtahun ke-22 ibu kotanya iaitu Nur- Sultan, bandar yang dibangunkan oleh Presiden Nursultan Nazarbayev.
Nursultan Nazarbayev melalui saat getir untuk membangunkan negara tersebut setelah kejatuhan Uni Soviet tetapi berjaya menjalankan mandat yang diberikan rakyat dengan cemerlang. – MalaysiaGazette