ZAMAN sudah pun berubah. Pada zaman moden pelbagai jenis kemudahan serta aplikasi moden dalam talian sudah wujud bagi memudahkan urusan semua pihak. Dengan wujudnya komuter, telefon pintar serta Internet, semua pihak boleh melakukan aktiviti harian dengan lebih mudah, cepat serta berkesan. Segala kemudahan serta aplikasi moden dalam talian yang wujud perlu digunakan dengan sepenuhnya oleh semua pihak dan ini termasuklah oleh para pekerja sendiri di tempat kerja mereka. Segala kemudahan serta aplikasi moden dalam talian ini tidak boleh dijadikan sebagai bahan perhiasan semata-mata ataupun alat yang hanya digunakan ketika kita sedang hadapi waktu darurat sahaja seperti ketika penularan wabak dan perintah kawalan pergerakan. Segala kemudahan dan aplikasi moden dalam talian ini perlu digunakan kerana ia memberi banyak manfaat dan kebaikan bukan sahaja pada diri individu pekerja itu sendiri malah kepada orang ramai yang berurusan dengan pihak pekerja itu. Penggunaan kemudahan dan aplikasi dalam talian ini mula mendapat tempat dalam negara kita dan di serata dunia apabila berlakunya penularan wabak novel koronavirus (Covid-19) yang mengancam kesihatan dan nyawa manusia semenjak awal tahun ini. Sehingga kini, tiada penawar atau vaksin yang boleh digunakan khusus bagi mengubati virus Covid-19 ini.
Disebabkan virus Covid-19 amat berbahaya kepada kesihatan manusia serta mudah menjangkiti manusia, kerajaan di serata dunia termasuklah kerajaan Malaysia terpaksa mengambil langkah drastik bagi membendung penularannya. Antara langkah drastik yang telah diambil oleh kerajaan Malaysia adalah dengan menguatkuasa perintah kawalan pergerakan ataupun PKP. Melalui perintah PKP ini, semua premis perniagaan dan tempat kerja dalam negara telah ditutup. Penutupan premis perniagaan dan tempat kerja telah memaksa orang ramai termasuklah pekerja untuk menggunakan segala jenis kemudahan dan aplikasi moden dalam talian bagi melakukan aktiviti kerja harian mereka.
Memandangkan penularan virus Covid-19 kian terkawal, pihak kerajaan juga telah mula mengurangkan segala jenis kawalan ketat yang telah diperkenalkan. Melalui perintah kawalan pergerakan pemulihan ataupun PKPP, ramai pihak kini termasuklah para pekerja sudah mula kembali ke tempat kerja serta menjalankan tugas mereka di pejabat. Antara kelonggaran yang diberikan oleh pihak kerajaan adalah dengan membenarkan aktiviti berkaitan dengan kerja dilakukan secara semuka seperti proses temuramah, mesyuarat, bengkel, seminar dan lain-lain lagi. Persoalan kini timbul, perlukan kita menjalankan segala aktiviti kerja ini dengan menggunakan cara lama seperti yang biasa dilakukan
sebelum penularan virus Covid-19 ini iaitu melalui cara bersemuka? Walaupun penularan virus Covid-19 telah berjaya dikawal, ianya tidak bermakna kita perlu kembali ke zaman di mana segala- gala perlu dilakukan secara bersemuka sekiranya tiada keperluan mendesak. Dengan wujudnya pelbagai jenis kemudahan dan aplikasi moden dalam talian, banyak jenis aktiviti kerja kini dapat dilaksanakan sepenuhnya dari rumah serta tanpa perlu hadir secara fizikal ditempat kerja. Aktiviti seperti proses temuduga, mesyuarat, bengkel, seminar dan lain- lain lagi boleh dilakukan dengan mudah, cepat dan berkesan dalam talian.
Banyak manfaat dan kebaikan yang boleh diperolehi sekiranya kita menggunakan kemudahan dan aplikasi moden dalam talian ini untuk melakukan aktiviti kerja. Segala manfaat dan kebaikan ini bukan sahaja terhad terhadap diri pekerja, malah turut memberi manfaat dan kebaikan kepada majikan serta seluruh organisasi tempat kerja itu sendiri seperti proses penjimatan wang, masa dan tenaga. Dengan menggunakan kemudahan dan aplikasi moden dalam talian, para pekerja tidak perlu membelanjakan banyak wang mereka untuk hadiri ke mesyuarat, bengkel, seminar dan lain-lagi. Pihak majikan juga tidak perlu mengeluarkan banyak kos bagi menjalankan proses temuduga, mesyuarat, bengkel dan seminar untuk pekerja. Banyak masa juga dapat dijimatkan sekiranya pihak majikan dan pekerja menggunakan segala kemudahan dan aplikasi moden dalam talian ini. Pihak majikan dan pekerja tidak perlu bergerak banyak semata-mata hanya untuk menghadiri mesyuarat, bengkel, seminar ataupun proses temuduga yang selalunya dilaksanakan dalam tempoh masa yang singkat.
Tanpa melakukan proses pergerakan yang banyak, pihak majikan dan pekerja dapat menjimatkan masa mereka serta dapat memberi tumpuan untuk melakukan aktiviti kerja lain yang lebih penting. Dengan kurangnya pergerakan ini juga, para majikan dan pekerja dapat menjimatkan tenaga mereka untuk melaksanakan aktiviti kerja yang lain yang lebih penting. Dengan menggunakan kemudahan dan aplikasi dalam talian ini juga ia dipercayai dapat mencegah dan mengurangkan masalah salah laku ditempat kerja seperti masalah gangguan seksual serta pembulian di tempat kerja kerana segala urusan dapat dirakamkan dengan jelas melalui kemudahan dan aplikasi moden dalam talian ini sekaligus boleh digunakan sebagai bahan bukti yang kuat untuk proses siasatan dalaman organisasi ataupun proses perbicaraan mahkamah.
Pihak majikan dan pekerja perlu mengambil segala ruang dan peluang yang ditawarkan melalui kewujudan pelbagai jenis kemudahan dan aplikasi moden pada masa kini untuk
menjalankan aktiviti kerja mereka. Pihak majikan dan pekerja perlu berani melakukan perubahan terhadap aktiviti kerja harian mereka dengan menggunakan segala kemudahan dan aplikasi moden yang ada supaya mereka terus tidak ketinggalan dengan masyarakat dunia yang lain yang semakin maju dan moden.
Oleh: Dr. Muzaffar Syah Mallow, Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)