TINDAKAN bekas penyerang kebangsaan, Khalid Jamlus menjual kasut emas yang
dimenanginya pada 18 tahun lalu dengan harga RM10,500 menerusi bidaan secara
langsung di Facebook miliknya menarik perhatian semua pihak. Selain Kasut Emas,
Khalid turut membuat lelongan pelbagai barangan peribadi termasuk poster, jersi
serta medal yang dimenangi sepanjang kariernya. Mengikut laporan, Khalid terpaksa
melakukan “pengorbanan” ini atas faktor kewangan selepas tiga tahun tiada
pekerjaan.
Hakikatnya isu kelangsungan hidup bekas atlet seperti ini wajar menjadi iktibar
kepada semua ahli sukan yang masih aktif. Ironinya ini bukan kes baharu
membabitkan kesempitan hidup bekas atlet ternama terutamanya yang pernah
bergelar atlet kebangsaan. Mereka pernah berada di puncak karier, disanjung oleh
semua peminat, mendapat pelbagai insentif kewangan mahupun gaji sebagai pemain
profesional namun bila bersara atau mengalami kecederaan, kehidupan mereka
menjadi sangat tidak menentu. Justeru diharap nasib yang menimpa Khalid dan
bekas atlet lain sebelum ini tidak menghantui atlet yang masih muda dan aktif serta
sedang mencipta nama.
Kita perlu akui zaman kegemilangan seorang atlet tidaklah terlalu panjang kerana
akan sampai ke penghujungnya apabila umur semakin meningkat atau lebih malang
lagi jika mengalami kecederaan yang kekal. Mereka juga tidak bersara pada umur
tertentu yang tetap seperti penjawat awam yang bersara pada usia 60 tahun. Jadi
tempoh masa pendek yang ada perlu digunakan sebaik mungkin untuk mencorak
masa hadapan mereka demi kelangsungan hidup selepas bersara. Harus diingat tidak
semua atlet mampu membina kerjaya dengan memperoleh peluang untuk menjadi
jurulatih selepas bersara sebagai atlet. Maka ramai yang perlu mencari kerja lain
selepas bersara apatah lagi merek tidak ada sebarang skim bantuan seperti pencen
bulanan.
Oleh itu atlet perlu bijak mengurus kewangan mereka ketika berada di zaman
kemuncak karier. Misalnya gaji sebagai pemain bola sepak profesional yang diterima
pada setiap bulan atau insentif kemenangan yang diterima perlu diuruskan dengan
baik dengan mengambil kira keperluan selepas bersara. Misalnya gaji dan insentif
yang diterima ini perlu dibahagikan kepada tiga bahagian, iaitu bahagian pertama
ialah simpanan tetap kecemasan untuk masa hadapan yang tidak boleh diusik
langsung. Ini boleh disimpan dalam bank sebagai simpanan tetap jangka panjang
atau simpan dalam amanah saham tertentu seperti Amanah Saham Bumiputera yang
turut menjanjikan dividen tahunan.
Bahagian kedua perlu digunakan untuk merancang perolehan sumber pendapatan
sampingan dari sekarang supaya kita tidak terlalu bergantung harap kepada gaji,
elaun atau insentif kemenangan semata-mata. Misalnya bahagian ini boleh
digunakan sebagai modal untuk memulakan sebarang perniagaan dari sekarang
supaya ada pendapatan sampingan sejak dari zaman bergelar atlet lagi. Penulis
melihat ramai juga atlet dan artis mula membuat seperti ini untuk kelangsungan
hidup mereka. Maka selepas bersara kita hanya perlu memperluaskan lagi aktiviti
perniagaan tersebut yang pada ketika itu akan menjadi sumber pendapatan tetap
dan utama kita. Malah bahagian ini juga kita boleh gunakan untuk membeli aset
seperti rumah sendiri.
Manakala bahagian terakhir adalah untuk kegunaan semasa iaitu bagi menampung
segala perbelanjaan harian dan bulanan untuk seisi keluarga. Perbelanjaan ini juga
perlu dikawal agar berhemat serta digunakan untuk yang perlu sahaja dan bukan
berbelanja mengikut kemahuan. Walaupun kelihatan cukup sukar untuk kita
mengawal perbelanjaan serta mendisiplinkan diri dengan corak simpanan dan
perbelanjaan seperti ini, namun percayalah hanya ini cara terbaik yang boleh
membantu kita untuk meneruskan kelangsungan kehidupan diri dan keluarga selepas
bersara dari dunia sukan kelak. Dengan ini juga kita tidak perlu mengharap apa-apa
bantuan atau ihsan dari orang lain.
Dalam pada itu, para atlet juga wajar mengambil peluang ketika muda untuk
menambah ilmu mahupun kemahiran dalam pelbagai bidang supaya ianya boleh
menjadi bekalan dan digunakan selepas bersara kelak. Misalnya bagi yang mampu
dan masih berminat untuk menyambung pengajian, boleh berbuat demikian sama
ada di peringkat diploma mahupun ijazah secara separuh masa. Manakala yang lain
wajar ambil peluang untuk mengikuti kursus kemahiran seperti kursus
penyelenggaraan kereta, motor atau penghawa dingin. Dengan ini mereka boleh
membuka bengkel selepas bersara kelak. Ilmu pengetahuan dan kemahiran seperti
ini boleh membantu mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup selepas tidak
lagi aktif dalam sukan.
Ringkasnya, gunakan masa muda sebagai atlet sebaik mungkin agar bukan saja
dapat mencapai kemenangan dalam sukan tetapi turut bijak mengurus diri dan
kewangan demi masa hadapan yang lebih baik. Ambil iktibar dengan nasib yang
menimpa rakan-rakan bekas atlet senior yang lain, dan jangan sesekali berjoli sakan
atau berfoya-foya dengan duit gaji atau insentif lumayan yang diterima sekarang
kerana kita tidak tahu apa akan berlaku selepas zaman kegemilangan kita berakhir
kelak. Tuntasnya, atlet perlu bersiap sedia dari sekarang untuk mengharungi
cabaran pada masa hadapan dan berjimat cermatlah supaya tidak menyesal
kemudian hari.
Oleh: Noor Mohamad Shakil Hameed, penganalisis isu semasa
Ni lah perangai artis dan pemain bola sepak..masa tgh laris bukan main berlagak lg tayang kereta Porshe lah, Mercedes laaa…bila dah tak laku mula lah macam2..masa senang tak hingat dunia!!!