Home Akhbar Cina Pendaftaran PN merupakan hala tuju masa depan

Pendaftaran PN merupakan hala tuju masa depan

Perikatan Nasional (PN) dan logo gabungan itu sepatutnya dilancarkan hari ini di Sabah oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sempena lawatannya ke negeri itu.

PUTRAJAYA – Pendaftaran Perikatan Nasional (PN) sebagai sebuah parti politik adalah hala tuju masa depan dan proses itu akan dibenarkan mengambil tempat secara “semula jadi,” kata Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Menteri Pengangkutan tersebut juga membayangkan bahawa PN akan melancarkan manifesto pilihan raya sebagai sebuah parti.

“Adakah sebuah parti masih boleh dianggap sebagai sebuah parti politik jika ia tidak mempunyai manifesto?” kata Ka Siong kepada Oriental Daily apabila ditanya isu itu.

Ditanya bila manifesto PN akan dilancarkan, Ka Siong berkata, ia perlu dilakukan secara berperingkat kerana pemimpin PN baru sahaja mengadakan pertemuan pertama.

Apabila dikemuka soalan mengenai lambang yang digunakan, Ka Siong berkata, percaturan di Semenanjung adalah berlainan dengan keadaan di Sabah dan juga Sarawak.

“Yang penting, 12 pemimpin tertinggi telah berdiri bersama. UMNO dan GPS telah menyatakan sokongan terbuka kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Sebagai anggota BN, kami merupakan komponen yang mendirikan PN,” katanya.

Ka Siong bagaimanapun memberitahu bahawa tiada dokumen yang ditandatangani dalam majlis pertemuan antara ketua-ketua parti bersama Muhyiddin.

“Saya tak bawa pen pada hari itu dan hanya terdapat pensil di atas meja.

” Pertemuan pada Rabu bukan bertujuan menandatangani persetujuan, tetapi untuk membincangkan hala tuju kerjasama pada masa depan,” katanya.

Menurutnya, setiap pemimpin parti diberi masa hampir 10 minit untuk melontarkan pendapat.

“Ini merupakan perjumpaan pertama melibatkan 12 ketua parti selepas kerajaan PN ditubuhkan,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.