Home Nasional Premis bitcoin curi elektrik diserbu

Premis bitcoin curi elektrik diserbu

Gambar hiasan.

PELABUHAN KLANG – Suruhanjaya Tenaga hari ini menyerbu 10 premis dipercayai membuat sambungan elektrik secara haram menjalankan aktiviti perlombongan matawang bitcoin menyebabkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) kerugian besar setiap bulan di sini.

Timbalan Pengarah Penguatkuasanya, Shafie Mohamed berkata, hasil risikan pihaknya bersama TNB hampir sebulan lalu mendapati sindiket ini dikesan membuat penyambungan terus bekalan eletrik secara haram tanpa melalui meter.

“Kita mendapati terdapat pengguna elektrik dengan curang. Sepatutnya tenaga elektrik ini disalurkan melalui meter elektrik.

“Tapi apa yang kita dapati premis ini adalah tenaga elektrik itu tidak melalui meter elektrik dan disambung terus ke premis.

“Mereka ini juga menggunakan tenaga elektrik tanpa sebarang bayaran bil TNB,” katanya dalam sidang media di One Kesas, Taman Pendamar Indah di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menyertai satu operasi bersepadu bersama TNB dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) bagi menumpaskan aktiviti perlombongan bitcoin secara haram di sekitar pusat perniagaan One Kesas, Taman Pendamar Indah, di sini.

Dalam serbuan itu, lebih 400 komputer berkuasa tinggi dan beroperasi 24 jam ditemui dipercayai digunakan untuk aktiviti perlombongan bitcoin yang menggunakan bekalan elektrik secara haram.

Timbalan Pengarah Penguatkuasaan Suruhanjaya Tenaga, Shafie Mohamed bercakap kepada media semasa mengadakan Operasi Pengekangan Kes Penggunaan Elektrik Secara Curang Oleh Premis Cryptocurrency di sekitar One Kesas, Taman Pendamar, Pelabuhan Klang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 08 JULAI 2020

Hasil siasatan awal mendapati jumlah kerugian TNB dianggarkan lebih RM300,000 sejak premis itu beroperasi sebulan lalu.

Bagi kesalahan terbabit, Suruhanjaya Tenaga akan menjalankan siasatan seterusnya berdasarkan kepada Akta Bekalan Elektrik 1990 di bawah Seksyen 37.

“Jika disabit kesalahan penggunaan elektrik secara curang ini boleh dikenakan tindakan denda sehingga RM1 juta atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Anggota penguatkuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) membawa keluar server yang digunakan untuk membuat perlombongan bitcoin pada Operasi Pengekangan Kes Penggunaan Elektrik Secara Curang Oleh Premis Cryptocurrency di sekitar One Kesas, Taman Pendamar, Pelabuhan Klang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 08 JULAI 2020

Katanya, dalam operasi itu, pihak berkuasa terpaksa memotong kunci bagi membuka pintu setiap premis.

“Serbuan pertama di premis tanpa penghuni mencatat arus elektrik tanpa meter kira-kira 400 Amp dengan bil lebih RM30,000 sebulan.

“Kami mendapati walaupun kotak agihan elektrik di depan premis tiada sambungan, namun penggunaan elektrik dikesan melalui kipas nyah haba yang berfungsi di belakang premis,” katanya lagi. – MalaysiaGazette