Home Ekonomi Tiada lagi penurunan OPR untuk tahun 2020

Tiada lagi penurunan OPR untuk tahun 2020

Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) akan terus dibantu kerajaan untuk memastikan kelangsungan perniagaan dalam menguruskan aliran tunai.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Penurunan kadar dasar semalaman (OPR) buat kali ketiga oleh Bank Negara Malaysia (BNM) semalam sebanyak 25 mata asas kepada 1.75% memang sudah dijangka oleh pasaran.

Keputusan itu menjadikan kadar pengurangan kumulatif kepada 125 mata asas sejak Januari 2020.

MIDF Research berkata, kelonggaran polisi monetari ini akan menyediakan sokongan tambahan kepada ekonomi yang dijangka pulih secara berperingkat-peringkat selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Terdapat tanda-tanda pemulihan selepas ekonomi dibuka semula.

“Pengumuman makro ekonomi baru-baru ini menunjukkan terdapat tanda-tanda pemulihan akibat daripada penurunan mendadak akibat PKP,” katanya.

Pemulihan dalam aktiviti ekonomi boleh dikaitkan dengan tindakan kerajaan untuk membenarkan lebih banyak aktiviti ekonomi dibuka semula dan beroperasi semula, terutamanya sejak PKP Bersyarat sejak Mei 2020.

Menurut firma penyelidikan itu, kegiatan dalam pembuatan meningkat semula ke tahap pengembangan pada bulan Jun setelah penguncupan perlahan pada bulan Mei, seperti yang dimaklumkan dalam laporan PMI terbaharu (20 Jun: 51.0; 20 Mei: 45.6; Mar-31.3)

“Kami menjangkakan tiada lagi pengurangan kadar dalam tahun ini kerana tiada keperluan untuk berbuat demikian,” menurut MIDF Research.

Walaupun terdapat ketidakpastian dan risiko penurunan terhadap pertumbuhan, tahap kadar dasar semasa dianggap akomodatif untuk pemulihan aktiviti ekonomi meningkat dalam beberapa bulan mendatang. – MalaysiaGazette

OPR turun kali ketiga kepada 1.75 peratus