PELABUHAN KLANG – Sebanyak 21 premis dipercayai membuat sambungan elektrik secara haram yang menjalankan aktiviti penjanaan matawang bitcoin dikesan beroperasi di sekitar daerah Klang.
Timbalan Yang DiPertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Elya Marini Darmin berkata, kesemua 21 premis itu berjaya dikesan hasil risikan Suruhanjaya Tenaga dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bersama pihaknya sejak sebulan lalu.
“Untuk daerah Klang sahaja ada 21 premis dan usaha ini kita akan buat secara berterusan.
“Kalau operasi kita buat berterusan, Insya-Allah perkara ini boleh diselesaikan (curi elektrik dan salah guna premis).
“Kesemua 21 premis itu terletak antaranya terletak di Telok Gadong, Klang Sentral dan beberapa kawasan lagi di Klang,” katanya kepada pemberita dalam operasi bersepadu Op Bitcoin di One Kesas, Taman Pendamar Indah, di sini, hari ini.
Terdahulu sepasukan anggota penguatkuasa MPK menyita dan merampas kira-kira 40 komputer berkuasa tinggi dan pelbagai peralatan lain untuk penjanaan matawang bitcoin dalam operasi itu.
Rampasan itu dilakukan selepas Suruhanjaya Tenaga dan TNB menyerbu sebuah premis yang menggunakan bekalan elektrik secara haram tanpa melalui meter bagi tujuan operasi bitcoin 24 jam tanpa henti.
Hasil siasatan awal mendapati kerugian TNB akibat perlombongan bitcoin itu dianggarkan mencecah kira-kira RM30,000 untuk tempoh sebulan.
Dalam pada itu, operasi premis bitcoin itu merupakan kali pertama dijalankan MPK bersama Suruhanjaya Tenaga dan TNB.
“Operasi ke atas 21 premis itu belum lagi, ini merupakan operasi pertama sebab kita masih mengkaji dan tengok apa modus operandi terbaik,” katanya.
Menurut Elya Marini, sitaan semua peralatan perlombongan bitcoin itu disiasat di bawah Undang-undang Kecil 3, Perlesenan Perdagangan dan Perindustrian.
“Selepas pemotongan elektrik ini dibuat, pihak MPK akan masuk ke premis dan menyita barang-barang bitcoin, dikira dan dibawa ke dalam stor sitaan MPK.
“MPK akan membantu dari segi siasatan di mana kita akan kenal pasti pemilik bangunan atau harta.
“Kemudian kita akan kemukakan kepada pihak TNB dan Suruhanjaya Tenaga supaya mereka boleh mengambil tindakan undang-undang.
“Kadang-kala kita tengok pemilik premis yang buat, mungkin juga penyewa kepada pemilik premis dan mungkin juga penceroboh yang buat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette