Home Nasional Kerja tambah baik LRA Sungai Selangor Fasa 3 akan dipercepatkan

Kerja tambah baik LRA Sungai Selangor Fasa 3 akan dipercepatkan

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berucap pada Majlis Pelancaran Perkhidmatan Pengosongan Sistem Perangkap Lemak, Minyak dan Gris (FOG) Indah Water Konsortium (IWK) di Kementerian Alam Sekitar dan Air, Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 08 JULAI 2020

PUTRAJAYA – Kementerian Alam Sekitar dan Air akan menyegerakan kerja-kerja penambahbaikan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 3 (LRA SSP3) yang akan bermula 14 Julai ini.

Loji tersebut dihenti tugas sementara begi membolehkan kerja-kerja penambahbaikan dan penggantian aset kritikal dilakukan dan sebanyak 290 kawasan di wilayah Petaling, Klang, Gombak, Kuala Lumpur dan Kuala Langat akan mengalami gangguan bekalan air berjadual.

Menterinya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam masa yang sama turut mengingatkan penduduk di kawasan-kawasan yang akan berhadapan dengan masalah bekalan air selama tiga hari kelak dapat menyimpan air secukupnya.

“Cuma yang penting notis telah dikeluarkan kepada orang awam dan orang tahu berapa lama bekalan air tidak akan sampai jadi saya fikir kita perlu bersedia.

“Bagi pihak kementerian dan agensi, kita akan secepat mungkin untuk baik pulih dan proses membaiki,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Perkhidmatan Pengosongan Sistem Perangkap Lemak, Minyak dan Gris (FOG) di sini.

Katanya notis pemberitahuan telah dikeluarkan lebih awal agar semua yang akan terjejas dapat menerima maklumat selengkapnya selain bersiap sedia.

“Notis awal telahpun dikeluarkan. Ini proses untuk memperbaiki ia perkara normal dalam sistem,” tambah beliau. – MalaysiaGazettte