LONDON – Pemain tengah Tottenham Hotspur, Eric Dier digantung empat perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) oleh Persatuan Bola Sepak England.
Malah pemain berkenaan turut didenda £40,000 pound kerana memanjat tempat duduk stadium dan berkonfrontasi dengan penonton semasa perlawanan sebelum Covid-19 pada awal Mac lalu.
Insiden itu berlaku semasa Spurs tersingkir di halaman sendiri ketika berdepan Norwich City pada saingan Piala FA Emirates.
“Pemain Tottenham mengakui bahawa tindakannya semasa aksi FA menentang Norwich tidak sopan tetapi nafi mengugut penonton.
“Suruhanjaya Bebas Salahlaku Pemain mendapati tindakan Eric Dier adalah satu perbuatan bersifat ancaman,” kata persatuan itu dalam kenyataan hari ini.
Semasa aksi pusingan kelima antara Spurs dan Norwich pada 4 Mac lalu, Dier menjaringkan gol menerusi penalti tetapi pasukannya gagal mara ke pusingan seterusnya.
Pengurus, Jose Mourinho berkata, peminat Spurs telah menghina Dier selepas perlawanan itu sehingga memaksa pemain itu bertindak sedemikian. – MalaysiaGazette