KUALA LUMPUR – Pas mengingatkan semua pihak agar aktiviti berbuka puasa tidak perlu dipolitikkan ataupun digunakan sebagai tujuan politik.
Timbalan presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia sewajarnya menjadi medan merapatkan hubungan antara kaum dan meningkatkan pemahaman antara agama.
“Pas meraikan hubungan baik dengan masyarakat bukan Islam di negara ini.
“Pas sebagai sebuah gerakan dakwah mesti mampu mendekatkan masyarakat bukan Islam bagi memahami Islam, walau mereka tidak menerima Islam sebagai agama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas status akaun Facebook Yang Dipertua Pas Gombak, Salehhuddin Nasir pada Ahad lalu di mana dia ‘meluat’ dan menyampah melihat pemimpin DAP berbuka puasa dengan orang Islam.
Ia susulan bantahan lebih 50 orang peserta NGO Jaringan Muslimin Pulau Pinang pada Jumaat lepas yang menghalang Ketua Menteri, Lim Guan Eng menyertai majlis berbuka puasa melainkan beliau masuk Islam.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim mengingatkan ahli khususnya pimpinan Pas agar mengawasi setiap tulisan dengan disiplin dalam apa jua media sosial.
“Tulisan mestilah selaras dengan pendekatan budaya politik matang dan sejahtera yang menjadi dasar parti.
“Tulisan yang tidak menepati dasar ini sudah tentunya bukan pendirian parti dan hanyalah pandangan peribadi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.