KUALA LUMPUR – Seorang perunding sebuah syarikat kewangan hari ini didakwa atas tuduhan memperdayakan pegawai kanan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) sehingga RM85 juta bagi tujuan pelaburan.
Tertuduh, Datuk Ahmad Hazwan Aboo Mansor didakwa telah memperdayakan pegawai kanan supaya membuat pelaburan ke dalam sebuah skim dikenali sebagai BIMB Fund yang menjanjikan pulangan sehingga enam peratus setahun.
Hakikatnya, skim tersebut adalah BIMB i-Dividen Fund yang merupakan pelaburan Unit Amanah.
MyIPO kemudian telah menyerahkan sejumlah wang RM85,530,000 untuk dilaburkan lima tahun lepas.
Bagaimanapun, Ahmad Hazwan mengaku tidak bersalah dengan pertuduhan tersebut dan mohon dibicarakan.
Ahmad Hazwan dikatakan dengan curang telah mendorong MyIpo untuk menyerahkan jumlah tersebut bagi tujuan pelaburan yang juga telah didaftarkan atas nama BIMB Investment Management Berhad (i-dividend).
MyIpo dikatakan tidak akan sesekali melaburkan wang tersebut seandainya pelaburan tersebut tidak didaftarkan atas nama tersebut.
Perbuatan itu telah dilakukan di Bilik Mesyuarat Ixora MyIpo aras 19, Tower B, Menara UOA, Bangsa Kuala Lumpur pada 25 November 2015 sekitar jam 10 pagi.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya mewakili Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Afif Ali menawarkan jaminan RM1 juta setimpal dengan kesalahan dilakukan selain daripada keperluan melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan.
Bagaimanapun, peguam mewakili tertuduh, Datuk Akberdin Abdul Kader memohon supaya jumlah tersebut dikurangkan memandangkan kesemua akaun Ahmad Hazwan telah dibekukan malah sudah tidak mempunyai mata pencarian lagi sejak kes tersebut selain mempunyai tanggungan tiga anak masih bersekolah.
Malah kata Akberdin, tertuduh juga tidak mempunyai kereta dan terpaksa menggunakan kereta abangnya jenis Myvi kerana kenderaannya juga telah disita.
Hakim Mahkamah Seksyen, Azman Ahmad kemudian membenarkan tertuduh di ikat jamin dengan jumlah RM700,000 dengan dua orang penjamin tempatan sementara pasportnya diserah kepada mahkamah sehingga kes selesai.
“Beliau tidak perlu melaporkan diri ke SPRM atau balai polis sebaliknya serah pasport antarabangsanya sahaja kepada mahkamah. Sebutan kes pada 28 Ogos hadapan,” katanya ringkas. –MalaysiaGazette