PUTRAJAYA – Pengambilan pekerja asing yang baharu termasuk dari Bangladesh dihentikan buat masa ini bagi mengelak negara ini dijadikan tempat longgokan atau pembuangan pekerja asing selepas ini.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M.Saravanan berkata, keputusan tidak lagi membenarkan kemasukan pekerja asing ke dalam negara dibuat dan dijelaskan dalam pertemuan bersama Pesuruhanjaya Tinggi Bangladesh hari ini.
Katanya, beberapa perkara telah dibincangkan dalam pertemuan itu khususnya keputusan kementerian dan juga kerajaan Malaysia tidak membenarkan kemasukan mana-mana pekerja asing yang baharu ke negara ini.
“Sementara itu, oleh kerana kita lihat keadaan semasa yang mana pekerja asing berpermit yang sedia ada sekarang berisiko kehilangan pekerjaan akibat kelembapan ekonomi akibat Covid-19, kita akan menyelaraskan dulu pekerja asing sedia ada.
“Maka oleh demikian kita tidak akan membenarkan pekerja asing masuk dalam masa terdekat ini kecuali beberapa sektor tertentu, perlombongan dan pembantu rumah,” katanya.
Beliau menyatakan demikian seelpas menyampaikan Sijil Kelulusan Pengiktirafan Pusat Pengajar Pengawai Keselamatan dan Kesihatan serta Sijil Kelulusan Alat Kelengkapan Pelindung Diri di kementeriannya hari ini.
Saravanan berkata, setelah mengambil kira penularan Covid-19, kementeriannya merasakan terdapat keperluan untuk memberi perlindungan kepada pekerja asing mengikut standard antarabangsa.
Berikutan itu, katanya, KSM mencadangkan supaya semua pekerja asing perlu mencarum Perlindungan Keselamatan Sosial (Perkeso).
“Kita juga akan menguatkuasakan Akta 446 untuk memastikan majikan membekalkan penginapan perumahan dan kebajikan pekerja yang selamat dan terjamin.
“Penguatkuasaan Akta 446 akan dikuatkuasakan bermula 1 September ini dan denda maksimum RM50,000 akan dikenakan untuk setiap kesalahan yang dilakukan mana-mana majikan yang gagal mematuhi keperluan yang diperuntukan akta tersebut untuk keselamatan dan kebajikan pekerja,” katanya.
Tambahnya, majikan yang mempunyai pekerja asing wajib memastikan gaji mereka dibayar seperti dijanjikan.
Katanya, pihaknya sedang mengkaji dan memulakan perbincangan dengan Kementerian Dalam Negeri untuk memperkenalkan sistem penggajian atas talian, atau e-wadges, yang majikan yang didapati gagal membayar gaji pekerja akan diketahui menerusi sistem tersebut. – MalaysiaGazette