Home Utama Jual dadah online untuk tujuan perubatan satu kesalahan serius

Jual dadah online untuk tujuan perubatan satu kesalahan serius

Presiden MIC, Datuk Seri S.Subramaniam.

KUALA LUMPUR – Menjual sebarang jenis dadah atau bahan terkawal atau terlarang di negara ini di atas talian untuk kegunaan perubatan adalah satu kesalahan serius di sisi undang-undang.

Menterinya, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam menegaskan, penjualan sebarang jenis dadah terkawal yang disenaraikan di bawah Akta Racun 1952 menerusi atas talian oleh mana-mana individu termasuk doktor adalah tidak dibenarkan.

Sebagai contoh, katanya, morfin digunakan sebagai ubat penahan sakit tetapi ia hanya diberi kepada pesakit di hospital di bawah penyeliaan ketat doktor.

“Semua ubat yang tersenarai itu perlu dipreskripsikan oleh pengamal perubatan yang bertauliah dengan merekodkan setiap dos ubat sebelum diberikan kepada pesakit.

“Pengamal perubatan yang terlibat dalam penggunaan atau penjualan dadah terkawal perlu mematuhi garis panduan yang ditetapkan dan melanggar undang-undang boleh dikenakan tindakan.

“Penggunaannya adalah bagi ubat penahan sakit bagi sesetengah kes perubatan, terutamanya yang dalam keadaan kritikal atau yang telah menjalani pembedahan major (utama),” katanya pada sidang media sebelum mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat MIC di sini sebentar tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tangkapan polis terhadap Doktor Ganja di Klang pada 26 Mei lalu di Klang.

Individu itu mendakwa hasil ‘kerjanya’ mencampur ganja dengan kek, coklat, minyak, madu dan susu dan mendakwa produknya mampu menyembuhkan penyakit dan dijual bermula RM5 hingga RM150 melalui tempahan dalam Facebook, WeChat dan WhatsApp.- MalaysiaGazette

 

http://Doktor ganja jual produk makanan dalam laman web tumpas