Home Nasional Kes bunuh Kevin Morais: Pendakwa bersyukur, penantian lima tahun terjawab

Kes bunuh Kevin Morais: Pendakwa bersyukur, penantian lima tahun terjawab

Adik kepada mendiang Anthony Kevin Morais, Datuk Richard Morais kelihatan sebaik keluar dari mahkamah selepas mendengar keputusan akhir kes pembelaan bunuh abangnya yang juga bekas Timbalan Pendakwa Raya di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 10 JULAI 2020

KUALA LUMPUR – Pasukan pendakwaan melahirkan rasa syukur dan lega dengan keputusan hukum gantung sampai mati terhadap enam individu didakwa bersalah dalam pembunuhan mendiang Datuk Anthony Kevin Morais sebentar tadi.

Walaupun mengakui ini hanya fasa pertama namun hakikatnya kemenangan mendapatkan keadilan untuk mendiang Kevin Morais sesuatu yang tidak boleh digambarkan.

Menurut salah seorang Timbalan Pendakwa Raya kes berprofil tinggi ini, Saiful Edris, dirinya bersyukur apabila mahkamah menjatuhkan hukuman ke atas keenam-enam tertuduh selepas didapati bersalah dengan niat membunuh Kevin Morais.

Malah kata Saiful sedikit emosi, dirinya masih menanggap Kevin Morais masih bersama mereka dan doa tidak putus kepada mendiang.

“Kita doa yang telah meninggalkan kita, Datuk Kevin. Rest in peace Kevin. (semadilah dengan aman) kerana selepas hampir lima tahun akhirnya pengadilan dapat diberikan.

“Kita tidak pernah lupakan beliau. Pada kami, Kevin masih ada bersama kami, kami masih ada bersama Kevin. Kita akan terus bersama dia.

“Kita gembira dengan keputusan penghakiman hari ini. Memang ini adalah bab pertama, kita akan ada pembelaan bawa kes ke Mahkamah Rayuan dan Persekutuan.

“Tapi untuk hari ini, kami gembira dan puas hati. Gembira kes ini telah selesai, lebih lima tahun,” katanya kepada pemberita sebentar tadi.

Manakala bagi Wan Shaharuddin Wan Ladin yang merupakan peguam pendakwaan dari awal hingga tamatnya kes hari ini, beliau mengucap syukur tidak terhingga.

“Ini mungkin antara kes paling lama pernah saya tempuhi, tetapi demi Kevin demi keadilan saya tetap teruskan juga. Rest in peace Kevin,” ujarnya.

Sementara itu, peguam bela mewakili tertuduh utama, pakar patologi, Kolonel Dr R Kunaseegaran, Datuk N Sivanathan ketika ditemui pemberita mengesahkan pihaknya akan membuat rayuan berhubung hukuman yang baharu sahaja di jatuhkan oleh Mahkamah Tinggi

“Tentunya kita akan buat rayuan. Ini baharu sahaja ‘chapter 1’, ada lagi. Kita belum putus asa lagi,” tegasnya.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman mati terhadap Kunaseegaran, 57; pemberi pinjaman wang S Ravi Chandaran, 49; serta empat penganggur R Dinishwaran, 28; AK Thinesh Kumar, 27; M Vishwanath, 30 dan S Nimalan, 27.

Kesemua enam tertuduh didapati mempunyai niat bersama untuk membunuh Kevin Morais pada September 2015. –MalaysiaGazette