KUALA LUMPUR – Selepas tujuh tahun beroperasi, penyanyi dan cef selebriti Datuk Fazley Yaakob mengumumkan penutupan operasi restorannya iaitu SukaSucre Bistro yang terletak di Cheras, Kuala Lumpur.
Fazley berkata, dia merancang untuk berpindah ke lokasi baharu yang akan dimaklumkan kelak.
“Hari ini (Jumaat) merupakan hari terakhir restoran saya beroperasi di Taman Pertama, Cheras. Kami akan berpindah ke tempat baharu tidak lama lagi.
“Tapi buat masa ini kami akan tutup buat sementara, sambil menunggu kerja-kerja renovasi di tempat baharu,” tulisnya di Instagram miliknya kelmarin.
Mengimbau kenangan sewaktu bergelar juara program memasak pada 2012, Fazley yang merupakan seorang penyanyi akui tidak menyangka dia akan bertukar bidang menjadi seorang cef.
Jelasya, dia memulakan Suka Sucre Bistro dengan restu Allahyarham bapa dan ibunya.
“Apabila saya menjadi juara untuk pertandingan memasak di televisyen pada tahun 2012, saya tidak sangka bahawa perjalanan hidup saya, yang selama ini sebagai seorang artis dan usahawan, akan juga bertambah ceritanya sebagai seorang cef.
“Dengan restu dan izin arwah bapak dan ibu tersayang pada masa itu, kami mulakan Suka Sucre Bistro,” ujarnya.
Penyanyi lagu Asmara Ini berkata setelah mendapat pelbagai pengiktirafan dan anugerah dari dalam dan luar negara sepanjang tujuh tahun beroperasi, Suka Sucre Bistro sudah bersedia untuk berpindah ke tempat baharu.
Fazley turut mengucapkan terima kasih kepada pelanggan yang pernah berkunjung ke restorannya di samping menitip penghargaan kepada semua staf yang pernah berkhidmat dengan syarikat itu.
“Tujuh tahun kemudian, setelah beberapa ratus artikel di media, berpuluh-puluh anugerah kami terima dan juga pengiktirafan kami terima dari dalam dan luar negara, kami kini bersedia untuk berpindah ke tempat baharu.
“Terima kasih kepada semua yang pernah melanggani restoran kami, yang datang dari dekat dan juga yang datang dari jauh.
“Salam sayang kepada semua yang pernah berkhidmat di bawah naungan syarikat ini, baik pun sebagai anggota dapur, pengurusan, ataupun pembantu atau pencuci.
“Jasamu sentiasa dikenang. Banyak kenangan kita bersama di sini,” tulis panjang lebar. – MalaysiaGazette