KUALA LUMPUR – Keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim menolak penubuhan pasukan kajian semula punca kematian ahli bomba itu seperti yang diumumkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Hamid Bador semalam.
Mereka juga kesal dengan beberapa petikan kenyataan KPN yang disifatkan terpesong dan menyimpang daripada kebenaran.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh barisan peguam keluarga allahyarham, Mahkamah Koroner katanya, telah pun memberi dapatannya tentang punca dan sebab kematian allahyarham dan ianya tidak pernah dicabar oleh mana-mana pihak mahu pun semakan yang sah.
“Maka ianya adalah kewajipan pihak polis untuk menjuruskan siasatan bagi mencari siapakah dia “dua atau lebih orang” yang menyebabkan kematian arwah Adib, dan bukannya mempersoalkan semula punca kematiannya lagi sama ada dibunuh atau tidak, sebab hal tersebut telah pun selesai diputuskan Mahkamah,” kata kenyataan tersebut.
Keluarga Adib diwakili lapan peguam Mohd. Kamaruzaman A. Wabah, Ahmad Taufiq Baharum, Syazlin Mansor, Mohd. Zubir Embong, Mohd. Tajuddin Abd. Razak, Ahmad Lutfi Awang, Mohammed Zamri Ibrahim dan Yahaya Othman.
Selain itu, rumusan Ketua Polis Negara yang mengatakan Adib tidak dibunuh bersandarkan kepada kenyataan daripada dua orang pegawai bomba yang bersama arwah pada malam kejadian tidak nampak apa yang berlaku adalah tidak adil.
Malah, kenyataan yang mengatakan Adib tidak diserang kerana tiada kesan kecedaraan mempertahankan diri pada tubuhnya juga adalah tidak munasabah.
Ini kerana perincian dalam keputusan Mahkamah Koroner menyebut, ketika arwah ditarik dan diserang, dia telah pun berada dalam keadaan sedar akibat kecedaraan dalaman.
“Justeru, dalam keadaan separa sedar tersebut, sudah tentu mustahil untuk arwah mempertahankan dirinya ketika beliau ditarik dan diserang, sekaligus menjelaskan mengapa tiadanya sebarang kesan kecederaan mempertahankan diri pada tubuh badannya,” katanya lagi.
Mereka juga menyifatkan kenyataan KPN yang menidakkan kewujudan “dying declaration” dan menuduh kononnya ia baharu ditimbulkan sekarang adalah sebagai tidak bertanggung jawab.
Ini kerana “dying declaration” telah pun dikemukakan sebagai ekshibit 1 31.
Selain itu, keluarga allahyarham menyangkal dakwaan yang mengatakan Adib tidak dapat berkomunukasi dengan baik sepanjang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).
Ini kerana, terdapat satu peringkat di mana Adib sendiri bertanya khabar kepada ahli keluarga yang melawatnya dan pernah meminta kebenaran staf IJN untuk menonton perlawanan bola sepak.
IJN juga menurut peguam-peguam allahyarham, tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi kononnya Adib tidak dapat berkomunikasi ketika menerima rawatan di situ.
“Sekiranya KPN membaca Nota Keterangan, Alasan Penghakiman penuh dan meneliti semula semua Ekshibit Mahkamah, kami yakin KPN tidak akan mengeluarkan kenyataan-kenyataan tidak bertanggungjawab seperti yang telah diungkapkannya,” katanya lagi.
Dalam pada itu, pihak keluarga allahyarham juga menafikan dakwaan KPN kononnya PDRM telah memanggil sekali lagi kesemua 30 saksi inkues.
Ini kerana bapa Adib serta saksi utama lain juga masih tidak dipanggil semula sehingga hari ini.
“Ini menunjukkan sikap tidak bersungguh-sungguh dalam menjalankan siasatan dan sebaliknya memberikan alasan kononnya telah menemui jalan buntu, berbohong kononnya telah ‘exhausted all means’, tanpa mengerahkan usaha yang sebenar-benar untuk mendapatkan keadilan untuk Adib,” ujarnya.- MalaysiaGazette
Kenapa plak KPN bertindak mcm dia plak hakim koroner??? Kan mahkamah dah sahkan Ajib dibunuh..kerja ko cuma cari dan tangkap jer pembunuh tu..
KPN oiii KPN..