Home Politik Semua Ahli Parlimen BN akan sokong usul tukar Speaker, kata Tajuddin

Semua Ahli Parlimen BN akan sokong usul tukar Speaker, kata Tajuddin

Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

KUALA LUMPUR – Semua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN)  akan menyokong usul menggantikan Speaker Dewan Rakyat yang bakal dibawa esok.

Itu perkara yang disepakati dalam mesyuarat Pra Persidangan Parlimen dalam kalangan Ahli Parlimen parti berkenaan pada hari ini, selain menyatakan kesepaduan mendokong kerajaan Perikatan Nasional (PN), kata Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu yakin akan berlaku pertukaran penyandang jawatan Speaker Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof dan Timbalannya Nga Kor Ming pada persidangan Dewan Rakyat esok. 

“Kita bincang berkenaan persidangan Dewan Rakyat esok. Kita setuju kita kena bersatu. Ahli-ahli Parlimen kena hadir semua menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Menyokong apa-apa usul, apa-apa cadangan yang dibawa, pelantikan Speaker baru timbalan dan sebagainya.

“InsyaAllah kedudukan Speaker akan berubah esok,” katanya.

Tajuddin yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO antara salah seorang yang hadir mesyuarat sebentar tadi di Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Persidangan Dewan Rakyat esok akan menjadi tumpuan apabila usul mencadangkan Ariff  mengosongkan jawatannya seterusnya digantikan dengan  Datuk Azhar Azizan dibentang.

Begitu juga Timbalan Speaker Nga Kor Ming yang dikatakan bakal digantikan.

Dalam pada itu, Tajuddin menafikan isu pendaftaran Perikatan Nasional (PN) dibincangkan hari ini.

“Tidak ada cadangan nak daftar PN (tidak disentuh dalam mesyuarat). Tidak pun dibentang,” katanya. – MalaysiaGazette