Home Nasional Enam lelaki ditahan memandu di bawah pengaruh alkohol di PJ

Enam lelaki ditahan memandu di bawah pengaruh alkohol di PJ

KUALA LUMPUR – Enam lelaki tempatan berumur 22 hingga 41 tahun ditahan polis dalam satu operasi yang dijalan antara pukul 11 malam 11 Julai hingga pukul 3 pagi tadi kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, menerusi Op Alkohol terbabit, sebanyak 42 saman atas pelbagai kesalahan trafik dikeluarkan.

Katanya, 252 orang pengguna jalan raya dan 217 buah kenderaan telah diperiksa ketika operasi.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan kesemua enam lelaki yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 45(A)1 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Fokus utama operasi ini dilaksanakan adalah bertujuan untuk membanteras dan mencegah pengguna jalan raya yang memandu atau menunggang kenderaan di bawah pengaruh alkohol sekaligus membahayakan keselamatan dan juga menyebabkan kematian kepada orang lain,” jelas Ezanee. – MalaysiaGazette