JOHANNESBURG – Afrika Selatan akan melarang penjualan alkohol dan perintah berkurung pada waktu malam untuk mengurangkan tekanan di hospital susulan lonjakan kes jangkitan koronavirus, kata Presiden Cyril Ramaphosa.
Kerajaan Ramaphosa telah melaksanakan sekatan pergerakan paling ketat di dunia pada akhir Mac dan berjaya mengawal jangkitan.
Tetapi sejak melonggarkan sekatan itu dalam menangani cabaran ekonomi penularan wabak Covid-19 semakin meningkat.
Afrika Selatan merekodkan jumlah kes koronavirus yang paling tinggi di Afrika dan kini mencatatkan peningkatan kes keempat terbesar dalam kes baharu di seluruh dunia.
Ramaphosa dalam ucapan yang disiarkan di televisyen berkata, negara itu tidak mampu membiarkan hospital dan kliniknya dibebani dengan kecederaan yang berkaitan dengan alkohol.
“Ini adalah perjuangan untuk menyelamatkan setiap nyawa dan kita perlu menyelamatkan setiap katil (hodpital).
“Ribut koronavirus jauh lebih ganas dan lebih merosakkan daripada yang pernah kita ketahui,” katanya.
Tempoh perintah berkurung pada waktu malam akan berlangsung dari jam 9 malam hingga 4 pagi dan berkuat kuasa mulai Isnin, kecuali kepada mereka yang keluar bekerja dan perlu mendapatan rawatan perubatan.
Pemakaian pelitup muka diperketatkan dan negara ini akan tetap berada di tahap ketiga sistem peringatan koronavirus daripada tahap lima.
Lawatan keluarga dan aktiviti sosial masih dilarang.
Ramaphosa berkata, data menjangkakan kemuncak jangkitan di wilayah berbeza bermula pada akhir Julai hingga hujung September dengan angka kematian antara 40,000 hingga 50,000 sebelum akhir tahun ini.
Kementerian Kesihatan melaporkan sebanyak 12,058 kes jangkitan koronavirus baharu pada hari Ahad menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 276.242 dan angka korban pula bertambah 108 kepada 4,079. – MalaysiaGazette