Home Nasional Lantik wanita jadi Timbalan Speaker, satu pendekatan baik – Azalina

Lantik wanita jadi Timbalan Speaker, satu pendekatan baik – Azalina

Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun (tengah) bersama Timbalan-Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon (kiri) dan Datuk Seri Azalina Othman (kanan) pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 13 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Azalina Othman Said berkata, pelantikan beliau selaku Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat wanita yang pertama satu pendekatan yang baik kepada negara.

Jelasnya, ia merupakan jalan perintis kepada wanita-wanita lain untuk diangkat kepada jawatan-jawatan penting dalam negara.

“Sebelum ini, kita tahu ada lantikan wanita dalam jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, hari ini untuk Dewan Rakyat pula.

“Saya harap ini akan menjadi langkah permulaan untuk masa-masa akan datang boleh ada Yang Dipertua Dewan wanita untuk kedua-dua dewan.

“Kerajaan secara langsung tidak menafikan isu gender tapi menambah baik individu yang berkelayakan,” katanya dalam sidang media di bilik media Dewan Rakyat hari ini.

Azalina, 57, merupakan wanita pertama memegang jawatan itu menggantikan Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming yang meletak jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengusulkan supaya Azalina dipilih menjadi Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat mengikut Peraturan Mesyuarat 6 (2) yang dibaca bersama Peraturan 4 (1), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Pengerang itu berkelulusan Sarjana Undang-Undang dari London School of Economics dan Diploma Undang-Undang Syariah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.