PUTRAJAYA – Kajian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke atas pesakit Covid-19 kluster Sungai Lui yang sembuh mendapati kehadiran antibodi yang rendah, iaitu hanya 20 peratus yang boleh menyebabkan mereka dijangkiti semula virus itu.
Ketua Pengarah Kesihatannya Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, antibodi yang terbina dalam kalangan pesakit berkurangan selepas lapan minggu .
“Apa yang saya juga ingin utarakan mengenai vaksin ialah dalam satu kajian terhadap Kluster Sungai Lui, yang masih belum dilapor dan diterbitkan KKM mendapati antibodi yang terbina hanya 20 peratus selepas tiga bulan.
“Dapatan sama dimaklum oleh delegasi perubatan China yang datang ke negara ini pada April lalu, apabila kajian mereka mendapati antibodi pesakit Covid-19 kira-kira 17 hingga 18 peratus.
“Kita dapati selepas tiga bulan dalam kluster di Sungai Lui, antibodi terbina dalam kalangan pesakit hanya 20 peratus,” katanya pada sidang media di KKM hari ini.
Menurut Noor Hisham, sepatutnya antibodi pesakit akan meningkat antara 80 hingga 90 peratus yang akan mewujudkan ‘herd immunity’ (imuniti kelompok).
Sementara itu, Noor Hisham berkata, tindak balas kekurangan antibodi itu menyebabkan pihaknya tertanya-tanya adakah bekas pesakit Covid-19 mungkin dijangkiti semula bvirus tersebut.
Selain itu, katanya, wujud persoalan sejauh mana seseorang pesakit sekiranya diberi vaksin, ubat berkenaan dapat merangsangkan semula tindak balas antibodi itu.
“Ini satu lagi perkara yang kita perlu lihat. Jadi kita di fasa kajian ketiga melihat keberkesanan vaksin itu sama ada vaksin yang dikaji ini dapat merangsang antibodi yang berkekalan bukan hanya bersifat sementara.
“Kalau antibodi itu tidak berkekalan, maka kita tidak ada imuniti kelompok dan inilah isu-isu dan setiap hari kita belajar benda baharu daripada Covid-19,” tambah beliau. – MalaysiaGazette
Maka ……ape gunanye vaksin?????