Home Politik Kalau nasionalisme Tun M kuat, dia tak jilat cakap sendiri – Noh

Kalau nasionalisme Tun M kuat, dia tak jilat cakap sendiri – Noh

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar bercakap pada sidang media sejurus selesai melawat tapak Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Seri Aman, Jinjang Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 04 APRIL 2017
PUTRAJAYA – Tan Sri Noh Omar menempelak Tun Dr. Mahathir Mohamad yang sebelum ini melahirkan kebimbangannya terhadap bangsa Melayu yang semakin hilang semangat nasionalisme.
Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor itu berkata, seseorang yang tinggi semangat nasionalismenya tidak akan mengorbankan prinsip perjuangannya yang terdahulu.
“Kalau betul Mahathir ni semangat nasionalisme dia kuat, dia takkan jilat semula apa yang dia pernah cakap. Dia sendiri pernah cakap DAP ni cauvinis, perkauman, jadi macam mana dia boleh korbankan prinsip perjuangan dia kerana peribadi. Itu saja,” kata Noh.
Beberapa hari selepas pengumuman penjualan sebahagian saham Proton kepada Geely, Mahathir melahirkan kebimbangannya terhadap bangsa Melayu yang dilihatnya tidak lagi mempunyai semangat nasionalisme.
Menulis di blog katanya, Melayu hari ini banyak yang berubah dan ramai di kalangan mereka yang tidak lagi sayangkan bangsa dan negara.
Justeru, Noh dalam sidang medianya hari ini berkata, kesulitan yang berlaku dalam Proton hari ini merupakan masalah-masalah yang ditinggalkan sendiri oleh bekas perdana menteri selama 22 tahun itu.
“Menteri Kewangan 2 pun sudah keluar kenyataan, kalau kita tak selamatkan, kemungkinan akan jadi macam Pewaja. Ini semua, beban-beban yang ditinggalkan oleh Tun Mahathirlah.” – MalaysiaGazette