TANAH MERAH – Jenazah guru yang meninggal dunia akibat terjatuh dari bangunan sekolah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pondok Lama, di sini pagi ini.
Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin antara ratusan jemaah yang hadir menunaikan solat jenazah dan mengiringi perjalanan terakhir Allahyarham Rosli Abd. Aziz di Masjid Besar Tanah Merah.
Allahyarham yang berusia 54 tahun maut selepas terjatuh dari tingkat satu bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Gajah semalam ketika sedang memeriksa sistem paip dan sinki sebagai persiapan untuk menerima kemasukan semula pelajar.
Artikel berkaitan: Guru maut terjatuh dari bangunan sekolah
Ketua Polis Daerah Tanah Merah DSP Zainuddin Md Yusuf berkata kejadian berlaku pada pukul 12.30 tengah hari semasa Allahyarham yang sedang memijak kerusi plastik itu tiba-tiba tergelincir, lalu terjatuh dari balkoni.
Beliau meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala kerana terkena bucu longkang.