KUALA LUMPUR – Pegawai dan anggota polis diberi amaran supaya tidak mendedahkan atau berkongsi laporan siasatan pasukan keselamatan itu kepada umum atau di media sosial kerana mereka boleh disiasat di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata tindakan mendedahkan laporan polis merupakan satu kesalahan kerana maklumat tersebut diklasifikasikan sebagai sulit dan terhad.
“Banyak laporan polis melibatkan pelbagai kes dikongsi di media sosial sehingga menjadi tular. Sekiranya saya dapat tahu pegawai atau anggota polis berbuat demikian, saya akan terus ambil tindakan di bawah Akta Rahsia Rasmi.
“Sebagai contoh, jika mangsa membuat laporan polis melibatkan jenayah seksual dan mangsa terlibat menceritakan apa terjadi kepadanya, (kemudian) anggota ditugaskan menulis laporan itu mendedahkan melalui WhatsApp sehingga sampai ke pengetahuan pihak media, ia tindakan tidak bertanggungjawab,” katanya kepada Bernama di Bukit Aman, baru-baru ini.
Abdul Hamid berkata tindakan mendedahkan maklumat mangsa atau pengadu boleh memalukan individu tersebut sedangkan laporan polis diklasifikasikan sebagai sulit dan tidak boleh dihebahkan kepada umum.
Menurutnya, jika mana-mana pegawai dan anggota didapati melakukan perbuatan sedemikian, mereka boleh dikenakan tindakan tataterbib termasuk digantung tugas.
Beliau berkata laporan polis hanya boleh dikongsi oleh pegawai polis yang dipertanggungjawab sahaja untuk rujukan kes tertentu, dan anggota yang tidak terlibat dilarang berbuat demikian.
“Namun, terdapat satu laporan polis yang menjadi tular di media sosial, dan apabila saya semak dengan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman (Datuk Huzir Mohamed), saya tanya beliau kes ini di mana dan bagaimana boleh tersebar?
“Beliau (Datuk Huzir) berkata mangsa sendiri yang mendedahkan laporan polis di media sosial. Bagi saya perbuatan mangsa membuka aib dan memalukan diri sendiri,” katanya.
Abdul Hamid berkata walaupun mangsa sendiri yang mendedahkan laporan polis kepada umum, ia tetap menjadi satu kesalahan.- BERNAMA