KUALA LUMPUR – Lima pengarang berita dan seorang jurugambar akhbar The Star tampil memberi keterangan kepada polis di Bukit Aman hari ini.
Kelima-lima pengarang berkenaan ialah Pengarang Eksekutif The Star, Rozaid Abdul Rahman, Brian Martin, N. Dorairaj, M.Shanmugam dan Errol Oh.
Jurugambar akhbar yang sama, Mohd. Sahar Misni juga hadir bersama bagi diambil keterangan oleh polis selepas penyiaran berita dan gambar kontroversi di muka depan akhbar itu pada Sabtu lepas.
Terdahulu, mereka tiba ke Bukit Aman dengan menaiki van merah syarikat The Star sekitar pukul 11.37 pagi sebelum dua kakitangannya keluar dari van dan menunju ke kaunter pendaftaran masuk ke Bukit Aman.
Sekitar 20 minit kemudian iaitu sekitar 12 tengah hari mereka diiringi dua lelaki bersut hitam dan seorang wanita dipercayai peguam mendaftar masuk ke Bukit Aman.
Mereka dirakam keterangan sekitar dua jam setengah sebelum keluar meninggalkan Bukit Aman sekitar 2.30 petang tadi.
Difahamkan, mereka disoal siasat berhubung penyiaran berita dan gambar muka depan yang mengaitkan keganasan dan foto umat Islam bersolat tarawih yang mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan penganut agama Islam.
Dua orang peguam mewakili keenam-enam kakitangan The Star itu, iaitu Amer Hamzah Arshad and New Sin Yew.
Amer ketika ditemui di pekarangan pintu keluar Bukit Aman berkata, keenam-enam kakitangan The Star itu telah disoal siasat dan dirakam keterangan oleh polis hampir tiga jam.
“Mereka (pengarang) telah memberi sepenuh kerjasama kepada segala soalan yang diajukan polis sepanjang proses soal siasat dan rakaman keterangan itu tadi.
“Kami percaya polis dapat menjalankan siasatan terhadap kes ini secara adil dan profesional,” jawabnya.
Akhbar The Star menggantung dua pengarang kanannya, Datuk Leanne Goh Lee Yen dan Pengarang Eksekutif, Dorairaj Nadason untuk suatu tempoh yang tidak dinyatakan ekoran kontroversi laporan berita dan gambar muka depannya yang menjadi kontroversi Sabtu lalu.
Penggantungan tugas kedua-duanya bagi membolehkan siasatan terhadap kes yang sama dilakukan.
Sepanjang tempoh penggantungan, Pengarah Urusan Kumpulan Star Media merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Wong Chun Wai akan menyelia operasi bahagian editorial akhbar berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, dua kertas siasatan dibuka PDRM mengikut Akta Hasutan dan Seksyen 298A Kanun Keseksaan terhadap akhbar The Star ekoran susulan penyiaran berita muka depan Sabtu lalu yang menyinggung perasaan umat Islam negara ini. – MalaysiaGazette