Home Nasional Pematuhan SOP boleh cegah Covid-19 di sekolah – Noor Hisham

Pematuhan SOP boleh cegah Covid-19 di sekolah – Noor Hisham

Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Pengurusan sekolah harus memastikan terdapat penjarakan sosial yang selamat sekurang-kurangnya satu meter  sesama dan guru baik di dalam mahupun di luar kelas.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, bilangan pelajar dalam kelas juga perlu dipantau supaya penjarakan sosial dapat diamalkan setiap masa.

Beliau turut menasihatkan pihak pengurusan sekolah supaya menjalankan pemeriksaan suhu dan gejala bagi semua pelajar sebelum mereka masuk ke kawasan sekolah atau ke kelas.

“Seperti makluman umum, pelajar sekolah menengah, tahun 5 dan 6 sudah memulakan sesi persekolahan mereka pada hari ini.

“Syabas diucapkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan pihak pengurusan sekolah yang telah bertanggungjawab mengambil langkah tertentu bagi memastikan murid-murid dan kakitangan sekolah patuh kepada Prosedur Standard Operasi (SOP) yang telah ditetapkan terutama bagi mengelakkan berlakunya penularan jangkitan Covid-19 di dalam sekolah.

“Jika dikesan terdapat murid yang tidak sihat, mereka perlu dirujuk ke fasiliti kesihatan berhampiran untuk pemeriksaan dan rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru Noor Hisham juga menggesa pihak sekolah menyediakan kemudahan sinki dengan air dan sabun atau hand sanitizer dan kerap menggunakannya dengan kaedah yang betul.

Katanya, amalan etika batuk dan bersin juga perlu dipraktikkan di sekolah secara lebih kerap bagi mengekang risiko penularan Covid-19.

“Pelajar serta guru sekolah sangat digalakkan memakai pelitup hidung dan mulut semasa sesi persekolahan.

“Penularan jangkitan Covid-19 dalam sekolah harus dicegah sama sekali kerana ianya boleh mengakibatkan penularan yang meluas di kalangan rakan sebaya, guru dan seterusnya jangkitan kepada keluarga di rumah, dan kemudiannya ke komuniti.

“Oleh itu, kepatuhan kepada segala nasihat dan saranan daripada KKM adalah penting bagi tujuan melindungi orang ramai daripada dijangkiti Covid-19,” tegasnya.-MalaysiaGazette

+ posts