Home Nasional Duta kongsi pengalaman proses repatriasi rakyat Malaysia

Duta kongsi pengalaman proses repatriasi rakyat Malaysia

Duta Besar Malaysia ke Peru, Fenny Nuli. Foto: Wisma Putra

KUALA LUMPUR – Hubungan baik di antara Malaysia dengan negara-negara lain digabungkan pula dengan komitmen tinggi para pegawai dan petugas Kedutaan Malaysia di Peru berjaya membantu bukan setakat rakyat Malaysia yang terkandas malah rakyat dari negara-negara lain juga keluar dari republik tersebut.

Berkongsi pengalamannya bersama Malaysia Gazette Duta Besar Malaysia ke Peru, Fenny Nuli berkata, semua cabaran yang dihadapi oleh pasukannya di Kedutaan Malaysia berjaya diatasi hasil kerjasama semua pihak.

Usaha itu katanya, pasti sukar dijayakan sekiranya Malaysia tidak mempunyai hubungan baik dengan negara-negara lain.

Tambahan pula Kedutaan Malaysia di Peru turut dipertanggungjawabkan untuk menguruskan penghantaran pulang pelancong Malaysia yang terkandas di Bolivia.

Menurut Fenny, ketiadaan Perwakilan Malaysia di Bolivia menyulitkan urusan untuk menghulurkan bantuan kepada warganegara Malaysia yang terkandas di negara tersebut selain urusan koordinasi dengan pihak berkuasa tempatan.

“Selain itu, salah seorang rakyat Malaysia yang turut disenaraikan menaiki pesawat tersebut hampir terlepas penerbangan akibat tanah runtuh dalam perjalanan dari Pucallpa ke Lima,” katanya ketika ditanya apakah antara pengalaman yang dialaminya ketika menguruskan proses repatrasi rakyat Malaysia baru-baru ini.

Menyedari situasi yang dihadapi adalah satu krisis kesihatan global yang bukan hanya melibatkan pihak A dan B sahaja, Fenny terpaksa merangka sebuah strategi bagi memastikan usaha yang dijalankan tidak terkandas di tengah jalan dek kerana para kakitangan kedutaan telah penat dan tertekan.

Duta Besar Malaysia ke Peru, Fenny Nuli ketika proses repatriasi rakyat Malaysia dair Lima, Peru. Foto: Wisma Putra

Ini kerana susulan penutupan sempadan dan penangguhan operasi penerbangan komersial telah menimbulkan banyak persoalan terutamanya yang melibatkan prosedur-prosedur yang diguna pakai oleh negara tuan rumah bagi menguruskan warganegara asing yang berada di sekitar Peru.

Kerajaan Peru telah menutup semua pintu sempadan negara mulai 16 Mac 2020 yang mana semua operasi penerbangan komersial juga telah ditangguhkan sehingga ke hari ini.

Lapangan Terbang Antarabangsa Jorge Chávez, Peru juga tidak beroperasi dan sekali gus memaksa pihak Kedutaan Malaysia menggunakan pesawat sewaan khas yang berlepas dari Lapangan Terbang Tentera Udara Peru untuk membawa rakyat Malaysia yang terkandas.

Malah, secara kasar proses repatriasi mengambil masa kira-kira dua minggu atau lebih namun semuanya bergantung kepada kelulusan lintas terbang dan mendarat, persediaan teknikal pesawat serta permit lintas sempadan.

“Dalam menangani cabaran berurusan dengan orang awam dan pihak Kedutaan telah menugaskan dua hingga tiga orang sahaja pegawai dan kakitangan untuk menerajui barisan hadapan dan selebihnya ditugaskan belakang tabir serta bertindak sebagai secondary line-up.

“Apabila barisan hadapan agak tertekan, barisan belakang akan menyokong fungsi barisan hadapan.

“Kaedah ini sesuai dipraktikkan di Peru dan Kedutaan telah berjaya melaksanakan operasi penghantaran pulang rakyat Malaysia bermula dari akhir bulan Mac dan April 2020,” katanya yang turut mendapat bantuan daripada Perwakilan Malaysia Brasilia, Hong Kong, Tokyo, Paris, Mexico City dan The Hague dalam memudah cara proses transit rakyat Malaysia di negara-negara berkenaan sebelum meneruskan perjalanan pulang ke tanah air.

Bersama rakyat Malaysia yang terkandas sebelum dihantar pulang.
Foto: Wisma Putra

Ketika diminta mengimbas semula proses repatriasi rakyat Malaysia oleh Kedutaan Malaysia di Peru, Fenny berkata, penerbangan sewa khas itu berlepas dari Bolivia ke Lima, Peru sebelum meneruskan perjalanan ke Sao Paulo, Brazil.

Para penumpang kemudiannya meneruskan perjalanan pulang ke destinasi masing-masing menggunakan penerbangan komersil dari Sao Paulo.

Pesawat berkenaan turut menumpangkan rakyat negara-negara lain seperti Thailand, Jepun, Brazil, Finland, China dan Korea Selatan.  Penumpang-penumpang tersebut kemudiannya meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing menggunakan pesawat komersial.

“Dalam usaha membantu warganegara asing dari lain-lain negara yang turut sama terkandas, pihak Kedutaan telah mencari dan menawarkan tempat duduk dalam pesawat bagi memenuhi kapasiti penerbangan sewaan khas, sekaligus membolehkan harga tiket dapat ditawarkan dengan harga yang lebih rendah untuk semua penumpang,” katanya yang pastinya lega apabila 22 orang rakyat Malaysia yang terkandas di Peru dan 19 lagi terkandas di Panama dan Bolivia telah selamat dihantar pulang ke tanah air.- MalaysiaGazette