KUALA LIMPUR – Sebanyak 251 kawasan yang mengalami gangguan bekalan air susulan henti tugas sementara Loji Rawatan Air Sungai Selangor telah pulih sepenuhnya setakat jam 10 malam tadi.
Hanya 39 kawasan yang dalam proses pemulihan membabitkan kawasan Klang dan Shah Alam.
Air Selangor berkata, secara keseluruhan 87% daripada kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan air yang berjadual ini telah pulih sepenuhnya.
”Usaha menstabilkan sistem agihan bekalan air sedang giat dilaksanakan untuk mempercepatkan proses pemulihan bekalan air ke kawasan yang masih terjejas.
”Oleh itu, Air Selangor memohon kerjasama para pelanggan yang telah menerima bekalan agar menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan bagi kawasan-kawasan yang masih terjejas berjalan lancar,” katanya. – MalaysiaGazette