KUALA LUMPUR – Tanpa seni hiasan dalaman mewah bak hotel mahu pun kafe-kafe berjenama antarabangsa, hospital kerajaan juga mampu memberikan perkhidmatan cemerlang kepada para pesakit.
Malah seorang Mat Saleh terkejut apabila menerima layanan yang baik dan profesional ketika mendapatkan rawatan di Hospital Langkawi baru-baru ini.
Menurut Paul Renders, dengan bayaran serendah RM2,000 beliau mendapat kesemua rawatan dan perubatan yang diperlukan.
Malah turut dibekalkan dengan ubat-ubatan yang banyak untuk kegunaan di rumah pula.
Sedangkan jika di Amerika Syarikat atau di Eropah katanya, bayaran sebanyak itu hanya cukup untuk menampung kos tinggal di hospital selama dua malam dan tidak termasuk rawatan, penjagaan dan ubat-ubatan.
“Tanpa kemewahan yang kebanyakan rakan-rakan ekspatriat saya yang mempunyai banyak wang gambarkan, saya telah dirawat dengan baik, dijaga dengan teliti dan profesional di Hospital Langkawi.
“Kesemua ubatan yang diperlukan termasuk morfin dan penjagaan diabetes diberikan oleh hospital berkenaan.
“Makanan juga sedap. Para petugas berkerja keras manakala sistem pula semuanya berkomputer.
“Saya mendapat perhatian yang diperlukan malah mereka mahu menghantar saya ke Perlis bagi menjalani ujian RMI dengan menggunakan bot hospital.
“Bagaimanapun, saya bertuah kerana tidak memerlukan ujian tersebut,” katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau.
Paul dimasukkan ke Hospital Langkawi selama seminggu selepas mengalami sakit saraf yang teruk.
“Tolong berhenti merungut atau bersikap negatif terhadap hospital komuniti sebelum memeriksa faktanya dengan betul.
“Langkawi mempunya sebuah hospital yang hebat.
“Setiap hospital di dalam dunia mempunyai isu dan masalahnya tersendiri.
“Langkawi boleh berbangga kerana mempunyai sebuah hospital komuniti yang sangat hebat.
“Rasa hormat dan setinggi penghargaan saya berikan kepada semua doktor dan jururawat yang hebat dan bekerja keras ini,” katanya lagi.
Hantaran Paul itu turut mendapat perhatian Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah yang menyatakan penghargaan beliau kepada semua petugas di Hospital Langkawi.
“Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua petugas di Hospital Langkawi yang bekerja keras dan berdedikasi.
“Anda telah membuatkan kita semua bangga. Terima kasih,” katanya di Facebook.- MalaysiaGazette